Skip to main
Logo Malaysiakini

Span nafi lambat bertindak isu pembuangan efluen

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) menafikan dakwaan Exco Selangor Hee Loy Sian bahawa badan itu lambat bertindak terhadap kewujudan efluen yang menyebabkan penutupan empat loji rawatan air (LRA) dan membawa kepada gangguan bekalan air, menjejaskan lebih sejuta isi rumah di Lembah Klang.

Dalam sidang DUN di Shah Alam semalam, Hee meluahkan kekecewaannya, bahawa langkah sewajarnya boleh diambil sekiranya kerajaan negeri dimaklumkan segera berkenaan perkara berkenaan.

Katanya, Indah Water Konsortium (IWK) mengesyaki pembuangan sisa berjadual oleh sebuah kilang, yang menyebabkan loji rawatan kumbahan (LRK) IWK di Taman Velox, di Rawang Selangor menghentikan operasinya pada 4 Nov.

Katanya, IWK hanya memaklumkan perkara berkenaan kepada Span, tetapi tidak kerajaan negeri.

“Span ingin menegaskan bahawa kenyataan tersebut adalah tidak tepat dan boleh mengelirukan pengguna.

“Span juga ingin memaklumkan bahawa penemuan efluen asing pada LRK Taman Velox yang dikesan pada 4 Nov bukanlah punca pencemaran dan penutupan loji ... (pada 10 Nov).

“Span telah mengarahkan IWK untuk menghentikan operasi di loji tersebut pada 5 Nov dan turut mengarahkan agar tiada sebarang efluen dilepas keluar dari premis berkenaan ke Sungai Gong,” kata Unit Komunikasi dan Hal Ehwal Pengguna Span dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, dengan bantuan Span, IWK juga telah menjalankan siasatan sumber pencemaran terhadap premis perindustrian berhampiran dan sisa efluan daripada dua syarikat telah diambil untuk tujuan pensampelan pada hari yang sama.

“Selain itu, notis makluman turut dikeluarkan IWK pada 4 Nov kepada pihak berkuasa tempatan (Majlis Perbandaran Selayang - MPS) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor bertujuan memaklumkan situasi pencemaran efluen yang dihadapi IWK di LRK Taman Velox,” katanya.

Span memaklumkan, satu laporan polis juga dibuat pada hari sama - 5 Nov - susulan insiden pencemaran itu.

“Merujuk kepada insiden penutupan empat LRA di Selangor pada 10 Nov akibat pencemaran bau di Sungai Selangor, Span ingin memaklumkan bahawa Span komited dalam memastikan mana-mana syarikat bekalan air dan pembetungan yang berada di bawah kawal seliaan Span tidak menyumbang kepada situasi pencemaran sama ada dalam bentuk bau atau pencemaran fizikal”.

Jelasnya, Span tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ke atas mana- mana agensi yang di bawah seliaannya yang melanggar mana-mana peruntukan akta bagi memastikan tadbir urus yang telus.

Span mengesahkan punca pencemaran dalam insiden berkenaan adalah daripada efluen terlarang (sisa berjadual) yang dilepaskan ke dalam lurang pembetungan awam oleh syarikat tanpa lesen yang beroperasi tidak jauh dari punca pencemaran ditemui iaitu di Taman Velox.

“Perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut telah menyebabkan kacau ganggu terhadap operasi LRK Taman Velox dan seterusnya kepada jutaan pengguna perkhidmatan bekalan air yang bergantung sumber dari empat LRA yang terjejas akibat henti tugas.

Span turut mengesahkan pencemaran bau di Sungai Selangor dikesan oleh pasukan penguatkuasaan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) pada sekitar jam 12.20 tengah hari pada 10 Nov.

“Kesemua agensi penguatkuasa yang berkaitan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), JAS, Span, Pengurusan Air Selangor, MPS serta IWK telah turun mencari punca dan operasi tersebut turut melibatkan Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa); Zaini Ujang yang merupakan antara individu terawal yang mengenal pasti punca dari Taman Velox tersebut.

“Tindakan bersepadu melibatkan pelbagai agensi tersebut telah membuahkan hasil apabila premis yang disyaki punca telah ditemui pada malam hari yang sama (10 Nov) dan kesemua empat LRA telah kembali beroperasi kurang 15 jam dari waktu ianya mula dihenti tugas,” kata Span.