Skip to main
Logo Malaysiakini

'Peningkatan kes di N Sembilan dari kluster yang dikenal pasti'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Peningkatan jumlah kes Covid-19 yang direkodkan di Negeri Sembilan minggu ini berpunca daripada kluster jangkitan yang telah dikenal pasti, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan itu memaklumkan, kerajaan memberi perhatian terhadap peningkatan itu, namun belum ada keperluan melaksanakan perintah kawalan pergerakan dipertingkatkan secara pentadbiran (Temco).

"Penilaian risiko akan dilaksana di setiap negeri, bagaimana boleh kesan kes-kes di lokaliti (berisiko tinggi). Kalau dikenal pasti, akan lihat perlu Temco atau tidak.

"Tapi kalau dikawal, macam kluster Sofi dan Cergas, tak perlu Temco. Kita dapat kawal kluster," katanya dalam sidang media harian Kementerian Kesihatan berhubung situasi Covid-19 hari ini.

Noor Hisham berkata, sebanyak 221 daripada 240 kes baru yang direkodkan hari ini berasal dari kluster Cergas yang melibatkan pekerja sebuah kilang di Seremban.

Menurutnya, kilang itu terletak berhampiran sebuah sekolah tahfiz di Seremban, lokasi kluster Sofi ditemui.

"Mungkin ada jangkitan di kawasan tersebut. Kita jalankan ujian saringan pada pekerja-pekerja kilang terutama di asrama mereka dan nyahkuman dijalankan.

"Walau tidak (laksanakan) Temco, kita kenal pasti pekerja-pekerja dan saringan dijalankan dan kilang henti operasi buat sementara.

"Kes-kes positif dikuarantinkan di hospital atau pusat kuarantin. Kes-kes terdedah (dengan) kes positif juga dikuarantinkan di pusat-pusat kuarantin. 

"Tindakan telah jalankan. Harap dapat kesan kes-kes pekerja dalam kluster ini," katanya lagi.

Untuk rekod, Negeri Sembilan mencatatkan jumlah tiga angka kes Covid-19 setiap hari sejak Ahad lalu.

Semalam, negeri itu merekodkan sejumlah 225 kes, yang mana 209 daripadanya berkaitan kluster Cergas.

Selasa lalu, kluster itu menyaksikan 42 kes baru daripada jumlah keseluruhan 141 kes yang dicatatkan di negeri itu.

Sehingga tengah hari ini, kluster Cergas merekodkan sebanyak 724 kes positif sejak kes indeksnya didapati positif pada 29 Okt.

Kluster Sofi setakat ini mencatatkan sejumlah 107 kes sejak kes indeksnya diuji positif pada 20 Okt.

Noor Hisham berkata, beberapa kluster lain telah menyumbang kepada jumlah kes yang tinggi di Negeri Sembilan termasuk kluster Kaya yang melibatkan pekerja kargo dan pekerja Pos Malaysia selain kluster Taman Bunga dan kluster Jernih.