Skip to main
Logo Malaysiakini

Adun gesa kaji peraturan hanya dua orang dibenar keluar rumah

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seorang wakil rakyat hari ini menggesa kerajaan mengkaji semula peraturan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) berhubung pergerakan individu yang keluar dari rumah mereka.

Ini terutamanya peraturan yang melarang lebih dua orang keluar dari rumah yang sama dan hanya membenarkan dua individu menaiki kenderaan yang sama pada satu-satu waktu.

Adun Bukit Gasing R Rajiv berkata peraturan itu bagaimanapun membenarkan empat orang dari rumah yang berbeza untuk makan bersama di restoran.

"Empat orang dari rumah yang berbeza boleh makan bersama di restoran. Tapi hanya dua orang (dibenarkan keluar) dari rumah yang sama?

"Kerana mudah dijangkiti orang yang duduk serumah dengan kamu? Boleh bayangkan tak? Bagaimana ini membantu memerangi Covid-19.

"SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) tak masuk akal," katanya dalam hantaran di Facebook.

Semalam, Anggota Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menggesa kerajaan mengkaji semula SOP yang membenarkan hanya dua penumpang dalam sebuah kereta.

“Saya minta @MKNJPM mengkaji semula SOP yang hanya membenarkan dua orang per kereta. Ahli keluarga seharusnya dibenarkan bersama untuk berada di dalam kereta. Tolong pertimbangkan. @IsmailSabri60.

“Ramai ibu bapa tunggal tak boleh meninggalkan anak-anak sendirian di rumah,” katanya di Twitter.

Beberapa pengguna Twitter yang lain turut berkongsi masalah mereka dengan SOP yang ditetapkan kerajaan itu.

"Ibu saya berusia 83 tahun. Ketika saya bawa ke klinik atau hospital saya turunkan dia di pintu masuk kerana dia uzur. Saya perlukan seseorang untuk menemaninya ketika saya cari tempat letak kereta. Jadi, setiap kali, mesti ada tiga orang dalam kereta. Sekarang macam mana? soal Fatimah Musa.

Seorang lagi pengguna laman sosial itu, Dean Syahzrain berkata dia terpaksa meninggalkan anaknya di rumah ketika keluar menghantar isterinya untuk membuat pemeriksaan kesihatan.

"Inilah yang saya hadapi ketika saya perlu menghantar isteri jumpa pakar sakit puan di hospital.

"Takut kena saman, saya terpaksa tinggalkan mereka di rumah untuk hantar isteri ke hospital dan pulang ke rumah. Selepas hantar isteri saya akan balik semula ke rumah dan kemudian tinggalkan mereka semula untuk jemput isteri," katanya.

Bagaimanapun, seorang lagi pengguna Twitter JK Chahil berkata pengecualian boleh dibuat sekiranya mereka memohon kebenaran daripada pihak berkuasa.

Namun, katanya kebenaran tersebut hanya terpakai untuk tempoh tiga hari.

"Memang menyusahkan," tambahnya.