SPRM digesa siasat projek dikaitkan pemimpin MCA
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat penganugerahan projek Kemasukan Kenderaan Asing (VEP) oleh kementerian pengangkutan kepada sebuah syarikat yang mana pemegang sahamnya termasuk seorang pemimpin MCA.
Pusat Untuk Memerangi Rasuah dan Kronisme (Pusat C4) membuat gesaan itu ekoran penemuan Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) bahawa terdapat pengaruh politik dalam penganugerahan kontrak bernilai RM145 juta itu.
Kementerian pengangkutan - yang pada 2015 diketuai Liow Tiong Lai dari MCA - menganugerahkan kontrak itu kepada TCSens Sdn Bhd.
Ahli jawatankuasa pusat MCA, Wee Jeck Seng, memegang 25 peratus saham syarikat tersebut.
Liow, yang pada ketika itu presiden MCA, menafikan dia mengetahui mengenai pembabitan Wee di dalam syarikat berkenaan.
“Kelakar apabila cepat betul penafian (dibuat) dan buat-buat tak tahu (mengenai pendedahan itu)," katanya.
"Pusat C4 menggesa SPRM untuk menyiasat berkenaan penganugerahan kontrak VEP itu, bersekali dengan individu lain yang mungkin terlibat dengan kontrak ini, sebagai langkah seterusnya dalam siasatan PAC,” tambahnya.
Pusat C4 berkata, perkara sama pernah terjadi sebelum ini, termasuk rundingan terus oleh kerajaan BN terdahulu untuk projek Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) fasa 2 dan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), kedua-duanya di bawah kementerian pengangkutan.
“Berdasarkan hal ini, C4 memanjangkan kebimbangan kepada PAC, bahawa konflik kepentingan dan pengaruh tidak wajar ialah pemangkin utama berlakunya korupsi.
“Kami gesa pembaikpulihan segera proses perolehan, dengan tujuan utamanya ialah untuk (mencapai) ketelusan bagi menghalang suapan kepada diri sendiri, rasuah dan potensi berlaku rasuah,” katanya.
Tambah Pusat C4, kontroversi itu boleh dielakkan dengan amalan sistem tender terbuka.
“Malangnya, meskipun memang ada peraturan untuk perolehan awam, masih ada lompongnya, seperti Pekeliling Perbendaharaan VK713 yang disebut Liow dalam keterangannya (kepada PAC) berhubung kes penganugerahan kontrak VEP.
“Liow memberitahu PAC bahawa kementerian itu memutuskan untuk mengguna pakai pekeliling itu, atas dasar bahawa garis masa untuk pelaksanaan projek itu adalah singkat,” katanya.
Tambahnya lagi, garis masa yang singkat itu bukanlah alasan untuk melakukan penyelewengan.
Pusat C4 turut menggesa agar pejabat ombudsman melakukan pengawasan terhadap perolehan seumpama itu.
“Pusat C4 menggesa agar rang undang-undang ombudsman yang dirangka untuk menangani aduan mengenai pembaziran atau ketirisan dalam infrastruktur dan sektor kerajaan semasa zaman PH dulu, dapat dibahaskan semula oleh ahli parlimen (di Dewan Rakyat) dengan segera.
“RUU ini tak sepatutnya dibiarkan tanpa perhatian, dan kita tak patut biarkan ia sepi dan menghilang,” katanya
Projek VEP bertujuan melaksana dan mengurus selia satu sistem untuk mengutip bayaran permit terhadap semua kenderaan asing yang memasuki negara ini dari Singapura.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai