Skip to main
Logo Malaysiakini

7 ditahan reman kes tumpahan minyak di Sik

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Tujuh individu termasuk empat warga Indonesia ditahan reman selama enam hari bermula hari ini, berhubung kejadian tumpahan minyak diesel yang menyebabkan pencemaran di tiga loji rawatan air di Jeniang, dekat Sungai Petani Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Adzli Abu Shah berkata kesemua lelaki yang berusia antara 27 hingga 38 tahun itu ditahan semalam, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan iaitu melakukan perbuatan khianat.

“Tiga lelaki tempatan yang ditahan ialah dua kontraktor masing-masing berusia 27 tahun dan 38 tahun, seorang penyelia tapak projek berusia 34 tahun, serta empat pekerja warga Indonesia berusia antara 32 hingga 38 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pencemaran berpunca dari sebuah tapak projek memasang ‘jacking pipe’ yang terletak kira-kira 100 meter dari Loji Rawatan Air Jeniang, yang dijalankan oleh pekerja daripada sebuah syarikat.

Katanya, terdapat tiga tong diesel ditemui di tapak projek terbabit untuk kegunaan mesin pengorek dan generator bagi menjalankan kerja-kerja terbabit.

“Siasatan mendapati terdapat kesan diesel di tanah bawah tong dan dipercayai mengalir ke tali air yang menyambung ke Sungai Muda. Tiada penghadang atau benteng pasir dibuat oleh pihak kontraktor menyebabkan sisa atau tumpahan minyak boleh masuk secara langsung ke saliran dan mengalir ke Sungai Muda,” katanya.

Khamis lepas, kira-kira 34,200 akaun pengguna di Sik dan Kuala Muda mengalami gangguan bekalan air susulan henti tugas tiga loji rawatan air iaitu Jeniang Baru, Jeniang Lama dan Sungai Pau kerana pencemaran dipercayai akibat tumpahan minyak diesel.

-Bernama