Skip to main
Logo Malaysiakini

Noor Hisham pertahan kesiapsiagaan KKM di Sabah

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Noor Hisham Abdullah mempertahan kesiapsiagaan pihaknya dalam mendepani penularan wabak Covid-19 di Sabah dengan meningkatkan segala aspek perubatan berkaitan.

Jelasnya, pada Ogos lalu dia sendiri telah turun ke Sabah dan bagi melihat kesiapsiagaan serta mendengar sendiri segala isu dan cabaran terkini petugas kesihatan di negeri itu.

"Saya sempat melihat sendiri kesiapsiagaan makmal kesihatan awam Kota Kinabalu yang telah dipertingkatkan keupayaan makmal melaksanakan ujian RT-PCR kepada 2,500 ujian seharian.

"Saya juga sempat melibat urus dengan warga makmal dan petugas kesihatan di lapangan untuk mendengar sendiri segala isu dan cabaran terkini.

"Di samping itu saya juga telah melaksanakan libat urus dengan semua ketua jabatan dan pakar perubatan dan kesihatan awam di Sabah melalui 'video conference'," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Kenyataan Noor Hisham itu dipercayai merujuk kepada pertikaian pihak tertentu terhadapnya dan KKM berhubung tahap kawalan Covid-19 di negeri itu.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perubatan Sabah Ajulahin Japin, berkata dakwaan Ahli Parlimen Bintulu Tiong King Sing (gambar, bawah) berhubung keadaan petugas kesihatan dalam memerangi Covid-19 di Sabah perlu disiasat terlebih dahulu sebelum dakwaan itu disanggah.

Dia yang juga Setiausaha Cuepacs Sabah berkata sebarang dakwaan dari mana-mana pihak yang melibatkan pekerja dengan niat yang ikhlas memang amat dihargai, dan cara terbaik bagi mendapatkan fakta sebenar sesuatu kes adalah dengan menyiasat ke akar umbi.

“Kami sering menerima aduan daripada pekerja kesihatan, terutama dalam situasi kritikal berhadapan dengan Covid-19 ketika ini, lalu kami akan salurkan aduan itu kepada Kementerian Kesihatan, dan kemudian kami terima maklum balas kepada aduan itu, mengenai bagaimana cara untuk membaiki keadaan.

"Apa yang kita pentingkan adalah kebajikan petugas kesihatan kita, dan kita juga berikan maklum balas kepada pihak berkuasa kesihatan mengenai cara menanganinya, contohnya isu berhubung tuntutan elaun kerja lebih masa yang harus dibayar dengan teratur,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Timbalan KP KKM turun padang

Sementara itu, Noor Hisham berkata timbalannya Dr Chong Chee Keong turut turun padang melihat sendiri perkhidmatan kesihatan awam di negeri itu baru-baru ini.

"Beliau masih menjalani tempoh kuarantin 14 hari sejurus kembali dari negeri Sabah.

"Insya-Allah kita mengalas tanggungjawab bersama memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dalam negara," katanya.

Sebelum ini, Tiong ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 pada 11 Nov lalu mengeluarkan kenyataan 'DG (Ketua Pengarah) takut mati' selain mempersoal mengapa Dr Noor Hisham tidak turun padang untuk melihat sendiri situasi Covid-19 di lapangan, sebaliknya hanya membuat sidang media setiap hari melalui siaran langsung di televisyen.

“DG (Dr Noor Hisham) takut mati sebab dia tak turun di Sabah, tak lockdown awal-awal di penjara,” katanya.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang mendengar kenyataan tersebut, bangun sambil meminta Tiong menarik balik kenyataan tersebut.

Timbalan Speaker Azalina Othman Said kemudian mengusir Rayer keluar dari Dewan Rakyat kerana enggan menuruti arahanna supaya ahli parlimen Jelutong itu duduk.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Kesihatan 1 Datuk Dr Noor Azmi Ghazali menegaskan kemudian tindakan pihak tertentu - tanpa menyebut nama Tiong - mempertikaikan tanggungjawab dan amanah yang telah dilaksanakan Noor Hisham adalah tidak bertanggungjawab serta tidak masuk akal.

Katanya, beliau terkejut apabila terdapat pihak tertentu sama ada orang awam mahupun ahli politik yang mempertikaikan kredibiliti dan pengorbanan Dr Noor Hisham dalam membanteras pandemik Covid-19 di negara ini.

"Jika kita merujuk kepada petugas barisan hadapan, Dr Noor Hisham merupakan orang nombor satu atau paling depan dalam barisan hadapan yang ‘berperang’ dengan virus Covid-19 selama ini.

"Beliau (Dr Noor Hisham) telah mendedikasikan sebahagian besar kehidupannya dalam menjaga aspek kesihatan rakyat di negara ini dan bukan hanya ketika wabak Covid-19 melanda sahaja," katanya pada 12 Nov lalu.