Skip to main
Logo Malaysiakini

Isu moratorium: K'jaan perlu campur tangan - Matta

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) menggesa kerajaan untuk campur tangan atas kegagalan syarikat kredit dan pajakan untuk melanjutkan moratorium pinjaman kepada ahli mereka.

Presiden Matta Datuk Tan Kok Liang berkata pihaknya telah menerima aduan daripada ahlinya yang memaklumkan bahawa syarikat pajakan dan kredit telah membuat peraturan mereka sendiri mengenai pembayaran balik moratorium.

Menurut beliau tindakan itu adalah tidak selaras dengan arahan mengenai moratorium yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

"Menurut laporan media, kira-kira 10,000 pengusaha bas ketika ini secara keseluruhan mempunyai jumlah hutang mencecah RM3 juta. Pengusaha bas tidak dapat beroperasi sejak Mac, namun mereka masih perlu membuat pembayaran balik kepada syarikat kredit dan pajakan itu.

"Adalah ironis walaupun dalam perniagaan pinjaman dan pajakan, syarikat kredit dan pajakan tidak dikawal selia di bawah BNM," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Tan, kegagalan meletakkan syarikat kredit dan pajakan di bawah bidang kuasa BNM atau pihak berkuasa lain khususnya mengenai isu moratorium telah mengakibatkan dan menambah kesengsaraan kepada industri pelancongan.

Katanya, dalam tempoh lapan bulan kebelakangan ini berdepan dengan penularan wabak Covid-19, kenderaan pelancongan tidak dapat bergerak dan menjana pendapatan.

"Sudah tiba masanya bagi kerajaan untuk mengawal selia syarikat kredit dan pajakan ini mengikut Akta Perkhidmatan Kewangan atau undang-undang berkaitan yang lain.

"Sementara itu, Matta turut meminta kerajaan untuk mempertimbangkan tindakan yang bersesuaian untuk memastikan tindakan syarikat kredit dan pajakan itu adalah selaras dan sesuai dalam menjaga kebajikan, kepentingan orang ramai dan ketenteraman negara ketika melalui krisis yang belum pernah terjadi sebelum ini," katanya.

- Bernama