Skip to main
Logo Malaysiakini

'Keahlian automatik gugur jika sertai parti lain'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Keanggotaan dalam parti akan gugur secara automatik jika seseorang ahli menyertai parti lain, menurut Setiausaha Amanah Selangor, Ar Kamarul Hisham Yeop Hashim.

Kamarul berkata demikian bagi menjelaskan kedudukan anggotanya, iaitu Adun Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar yang dilaporkan menyertai PKR.

“Dari PKR tidak pasti, tetapi kalau kita tengok sistem keahlian PKR dia (Fakhrulrazi) itu pada 11/9.

“Jadi kalau sudah daftar dengan keahliaan parti lain, keahliannya automatik gugur.

“Dia (Fakhrulrazi) pun tidak nafikan (sertai PKR). Dia cakap no komen saja. Yang itu dia kena jelaskanlah,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Tedahulu, Amanah Selangor dalam satu kenyataan mengesahkan Fakhrulrazi bukan lagi anggota parti itu.

Kenyataan yang juga dikeluarkan Kamarul itu juga memaklumkan semua jawatan parti yang disandang oleh Fakhrulrazi terbatal serta merta.

Fakhrulrazi bagaimanapun menegaskan dia tidak tahu-menahu akan perkara itu dan belum menerima sebarang notis daripada parti.

“Saya tak ada komen. Saya tak ada apa. Saya tak ada cerita nak nafi. Saya tak kata apa-apa. Tengok bila benda itu (spekulasi keluar parti) dah tular, tak sampai 24 jam mereka (Amanah) dah buat keputusan. Saya nak buat apa?” katanya.

Khabar mengenai penyertaannya dalam PKR dilaporkan semalam.

Sumber Amanah juga mengatakan kepimpinan parti sedang berbincang dengan PKR berkenaan perkara itu.