Skip to main
Logo Malaysiakini

Sasarkan pasaran dunia, bukan pasaran tempatan saja - Dr M

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Untuk meneruskan kelangsungan ekonomi dalam musim Covid-19, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata negara tidak harus terkurung dalam pasaran tempatan semata-mata, sebaliknya perlu menyasarkan pasaran dunia.

Katanya, meskipun ancaman kesihatan dan kehidupan perlu dikurangkan, ekonomi juga perlu dipulihkan, terutamanya dengan memanfaatkan industri-industri yang berupaya berkembang dalam musim wabak.

Industri ini, katanya, boleh dikenal pasti dengan menilai permintaan pasaran global, serta memperkenalkan sistem pemasaran yang lebih baik bagi membolehkan pembekal memenuhi permintaan yang semakin berkurangan - yang turut menyebabkan kos pengeluaran turun.

Jelasnya, permintaan berkurangan menyebabkan industri gulung tikar, dan ini menyebabkan orang kehilangan pekerjaan, justeru kos bahan mentah dan kos buruh juga akan berkurangan - lebih-lebih lagi ketika ramai pemakan gaji sanggup menerima potongan gaji termasuk yang berjawatan tinggi.

“Jika kos pengeluaran rendah, maka kos produk juga akan menjadi rendah. Pelaburan yang memerlukan modal rendah ini, menjadikan beberapa projek boleh dilaksanakan.

“Kini, semua transaksi, pembelian, jualan, dan penghantaran dibuat secara dalam talian. Ini membuatkan pasaran menjadi semakin besar - (justeru) lebih banyak perniagaan dapat dijalankan.

“Kita tahu bagaimana Jack Ma dan Ali Baba mencapai jumlah jualan yang tinggi.

“Kita harus sasarkan pasaran dunia. Kita tak harus mengurung diri kita dalam pasaran tempatan (sahaja),” katanya di blognya.

Mahathir mencadangkan, antara lain, tumpuan boleh diberikan terhadap bidang pertanian moden yang dapat menyumbang kepada memenuhi permintaan makanan kerana pertanian moden tidak bergantung pada saiz tanah.

Dia turut mencadangkan petani melaksanakan pertanian campur berbanding bergantung pada satu jenis tanaman sahaja.

Tambahnya, kerajaan memainkan peranan untuk memulihkan ekonomi.

“Proses birokrasi perlu diminimumkan apabila produk atau sistem baru diperkenalkan. Kita perlu serius untuk memulihkan ekonomi. Wabak ini takkan berakhir dalam masa terdekat.

“Ekonomi tak boleh bergantung pada normal lama. Normal baru perlu diperkenalkan dengan mengambil kira kekangan (yang dikenakan) gara-gara wabak Covid-19,” katanya lagi.