Skip to main
Logo Malaysiakini

PM Israel rancang lawatan rasmi pertama ke UAE

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu merancang mengadakan lawatan rasmi pertamanya ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Disember, lapor Agensi Anadolu.

Lawatan itu atas undangan Putera Mahkota Abu Dhabi Mohammed bin Zayed Al Nahyan, kata akhbar harian Israel Yedioth Ahronoth pada Isnin.

Laman web Hebrew Walla bulan lalu memetik pegawai Israel mengatakan Netanyahu menghalang menteri kabinetnya berkunjung ke UAE sebelum beliau melakukan kunjungan pertama ke negara itu.

Dilaporkan beberapa menteri menghubungi pejabat Netanyahu dan memaklumkan hasrat mereka untuk mengunjungi UAE, antaranya Menteri Pengangkutan Miri Regev.

Netanyahu menolak permintaan itu kerana mahu menjadi ahli politik Israel pertama yang mengunjungi UAE selepas menandatangani perjanjian untuk memulihkan hubungan diplomatik.

Pada 15 September, UAE dan Bahrain menandatangani perjanjian memulihkan hubungan diplomatik dengan Israel, yang mencetuskan kemarahan dalam kalangan rakyat Palestin.

-Bernama