'Larang jualan arak di KL beri kesan negatif pada ekonomi'
- Dikemas kini dengan maklumat tambahan di perenggan ketiga.
Garis panduan baru mengenai lesen minuman keras di Kuala Lumpur akan memberi kesan negatif kepada ekonomi yang sudah sedia terjejas akibat wabak Covid-19, kata mereka yang terlibat dalam industri itu.
Garis panduan yang dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Isnin lalu menyatakan bahawa kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat Cina tidak lagi dibenarkan menjual minuman keras mulai 1 Okt tahun depan.
Bagaimanapun, larangan itu tidak melibatkan kedai arak, kedai runcit, pub, bar, pasar raya, pasar raya besar dan kedai borong.
Setiausaha Persatuan Peniaga Minuman Keras Cina Selangor dan Kuala Lumpur, Albert Chooi Leong Peow berkata langkah itu tidak hanya akan merugikan perniagaan, malah juga mengurangkan pendapatan cukai kerajaan.
"Jika mereka tidak mengeluarkan lesen, bagaimana kami mahu mencari nafkah? Dan itu juga bermaksud kerajaan tidak akan mendapat cukai,” katanya kepada Malaysiakini.
Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga-Peniaga Barang-barang Runcit Malaysia, Hong Chee Meng juga menyuarakan pendapat yang sama.
"Kita menghadapi masa yang paling buruk dalam ekonomi. Setiap perniagaan, termasuk yang menjual minuman keras, bergelut untuk meningkatkan ekonomi.
"Dasar yang sedang dilaksanakan di Kuala Lumpur mungkin tidak akan mempengaruhi negara (sekarang), tapi bagaimana jika pihak berkuasa memperluasnya ke seluruh negara suatu hari nanti? Hasil cukai akan dikurangkan dan itu pasti kerugian bagi Malaysia," Kata Hong.
Selain cukai jualan, minuman keras juga dikenakan duti eksais.
Chooi, yang juga setiausaha agung Persatuan Penjual Minuman Keras, berkata selain kehilangan hasil cukai ia juga boleh menyumbang kepada peningkatan kegiatan penyeludupan.
Katanya, dasar yang diumumkan oleh DBKL itu juga bersifat regresif.
"Alkohol dijual di hampir setiap ibu kota di dunia. Mengapa kita mengambil langkah mundur?" soalnya.
Chooi berkata, persatuan itu akan mengadakan mesyuarat tidak lama lagi dan membincangkan garis panduan baru berkenaan dengan wakil rakyat sebelum menemui DBKL bagi membangkitkan rungutan mereka.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai