Skip to main
Logo Malaysiakini

Dakwaan AS beli data, Abim bimbang privasi pengguna Islam M’sia

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bertindak segera untuk menjamin hak privasi rakyat Malaysia serta kepentingan kedaulatan negara.

Ini selepas laporan media mendakwa tentera Amerika Syarikat telah membeli data pengguna daripada beberapa aplikasi popular atas alasan mengekang kegiatan keganasan.

"Laporan tersebut menyatakan bahawa antara aplikasi yang dibeli termasuklah ‘Muslim Pro’ yang telah melibatkan 98 juta pengguna muat turun seluruh dunia.

"Abim menegaskan pembelian data lokasi oleh pihak tentera Amerika ini bukan hanya memberi kesan kepada umat Islam di Amerika, tetapi juga melanggar hak privasi rakyat Malaysia yang menggunapakai aplikasi ini," kata Presiden Abim Muhammad Faisal Abdul Aziz.

Muhammad Faisal Abdul Aziz

Dalam kenyataan hari ini, Muhammad Faisal berkata Malaysia berada pada kedudukan kelima tertinggi untuk pasaran Muslim Pro dan memiliki 12 juta pengguna aktif setiap bulan.

Terdahulu, memetik Vice, media antarabangsa Business Insider melaporkan tentera AS membeli data lokasi dari aplikasi yang kerap digunakan oleh orang awam.

Muslim Pro menafikan kesahihan laporan itu dan berjanji melindungi data pengguna.

Muslim Pro, menyediakan kemudahan maklumat waktu solat, teks al-Quran serta terjemahannya dan arah kiblat.

"Walaupun Muslim Pro telah mengeluarkan kenyataan cuba menyakinkan para pengguna Muslim bahawa data peribadi mereka terpelihara, Abim tetap menggesa semua pihak yang membangunkan serta menguruskan apa-apa aplikasi yang terlibat untuk sama sekali tidak berkompromi dalam mempertahankan hak privasi rakyat Malaysia daripada dibocorkan, dijual dan dimanipulasi oleh mana-mana pihak luar.

"Kita seharusnya mengambil iktibar dari skandal Facebook-Cambridge Analytica yang mana data-data peribadi para pengguna aplikasi media sosial popular ini telah dimanipulasikan untuk kepentingan politik pihak tertentu," katanya.