MB terima baik saranan Guan Eng tiada pertandingan PRK Gerik
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menerima baik cadangan supaya parti lain tidak meletakkan calon untuk melawan Umno pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Gerik berikutan kematian ahli Parlimen kawasan itu Isnin lepas.
Cadangan itu dikemukakan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng semalam selaras dengan perkembangan semasa pandemik COVID-19 ketika ini serta pengiktirafan kepada Allahyarham Datuk Hasbullah Osman yang berkhidmat lebih daripada dua penggal sebagai Ahli Parlimen kawasan itu.
Menteri Besar Perak itu berkata dengan peningkatan jangkitan Covid-19 dalam negara ketika ini, adalah lebih baik sekiranya semua aktiviti termasuk berkempen dihentikan bagi mengelakkan penularan wabak itu.
"Kita cuba mengelak berlakunya PRK, usaha berkempen dan sebagainya yang boleh mengakibatkan penularan Covid-19. Kita dapati kes-kes positif semakin meningkat dan perhatian harus diberikan untuk menghentikan penularan wabak ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) dan Sekretariat Usahawan Perak (STeP) dengan syarikat telco redONE Network Sdn Bhd di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini.
MoU Rakan Niaga Telco atau Telcoprenuer Perak itu adalah satu lagi inisiatif oleh kerajaan negeri bagi membantu mereka yang terkesan akibat penularan pandemik Covid-19 dengan jangkaan seramai 1,000 usahawan dan individu menerima manfaat daripada program tersebut.
Dalam pada itu, ditanya sama ada Bersatu akan meletakkan calon pada PRK Gerik, Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar Perak berkata partinya akan berbincang dengan UMNO dan PAS sebelum membuat sebarang keputusan.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Hasbullah mempertahankan kerusi Parlimen Gerik dengan majoriti 5,528 undi, menewaskan calon PAS Mohd Dahalan Ismail (7,715 undi) dan Ibrahim Mohd Hanafiah dari Bersatu yang bertanding atas logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) (6,353 undi).
Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak Datuk Saarani Mohamad ketika ditemui pada majlis sama, turut menyuarakan kebimbangan berlaku penularan Covid-19 sekiranya PRK Gerik diadakan selain tidak mengubah apa-apa kedudukan kerajaan sedia ada.
"Jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat keputusan untuk mengadakan PRK tidak ada masalah cuma harapan saya apalah salahnya jika kita mengekalkan calon Barisan Nasional (BN) menang tanpa bertanding.
"Sudah pasti ia akan disokong oleh rakan-rakan dari PAS, Bersatu dan BN serta pihak pembangkang termasuk PKR, DAP dan Amanah. Lagipun hanya dengan satu kerusi tidak akan mengubah apa-apa.
“Saya berpendapat adalah lebih mulia jika kerusi itu tidak ditandingi dan semua parti dapat berlapang dada," katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai