Mahkamah tak perlu layan pihak cabar keputusan Agong
PARLIMEN | Tindakan mahkamah "melayan" pihak yang mencabar keputusan Yang di-pertuan Agong menolak cadangan perisytiharan darurat bercanggah dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Nazri Aziz (BN- Padang Rengas) berkata, keputusan Agong menolak nasihat supaya darurat bagi mengekang penularan wabak Covid-19 adalah tepat dan betul.
"Keputusan Agong adalah keputusan tepat dan betul kerana apa yang dilakukan oleh baginda merupakan kuasa yang diberikan kepada baginda untuk berbuat demikian di bawah Perkara 150 (Perlembagaan Persekutuan).
"Agong mempunyai kuasa budi bicara di bawah Perkara 158, iaitu jika mana-mana dalam hal puas hati Yang di-Pertuan Agong adalah muktamad dan konklusif tak boleh dicabar di mana-mana mahkamah. Tiada mahkamah boleh melayan.
"Mahkamah sepatutnya straight away (terus), yang mempertikai Agong sepatutnya awal-awal ditolak," katanya ketika berbahas di parlimen, hari ini.
Pada 30 Okt lalu, seorang peguam memfailkan saman pemula berhubung keputusan Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang tidak bertindak atas nasihat Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin untuk mengisytiharkan darurat.
Saman itu difailkan Syed Iskandar Syed Jaafar di pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, menerusi Tetuan R Kengadharan & Co dengan menamakan kerajaan sebagai defendan.
Melalui saman pemula itu, plaintif antara lain menuntut untuk menentukan sama ada berdasarkan Perkara 40 dan 150 Perlembagaan Persekutuan, Agong mempunyai budi bicara sepenuhnya untuk tidak mengisytiharkan darurat walaupun perdana menteri atau kabinet menasihatkan sebaliknya.
Plaintif juga menuntut untuk menentukan sama ada Akta A514 yang meminda Perkara 150 dengan menambah Fasal (8) dan (9) adalah melanggar Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu adalah terbatal dan tidak sah.
Plaintif turut menuntut relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah tanpa sebarang perintah kos.
Nazri berkata negara tidak perlu mengisytiharkan darurat bagi menghadapi penularan wabak Covid-19.
Jelasnya, tidak hanya Malaysia berdepan dengan pandemik itu, bahkan seluruh dunia menghadapi situasi sama.
"Bagi saya kita tak perlu ada darurat, Malaysia bukan satu negara (saja) hadapi Covid-19, bahkan seluruh dunia.
"Jadi maknanya mungkin ada satu dua negara dalam dunia mengisytihar darurat yang mencatatkan satu hari berpuluh ribu (kes positif) seperti Sepanyol," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai