Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | 'Siapa yang Ku Li mahu lihat jadi PM Malaysia?'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ULASAN | Kenyataan-kenyataan terbuka Ahli Parlimen Gua Musang yang juga merupakan Lembaga Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) sejak akhir-akhir ini sarat dengan nada negatif terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang tertubuh atas semangat perpaduan Melayu-Islam-bumiputera.

Selain berkali-kali menggesa Umno agar mengkaji semula kerjasama politik dengan PAS dan Bersatu, veteran Umno itu juga pernah mencadangkan supaya para pemimpin parti itu yang dilantik menganggotai kabinet pimpinan Muhyiddin Yassin agar berundur.

Di peringkat Kelantan pula, Ku Li cukup dikenali antara susuk warlord Umno yang kurang senang dengan penubuhan Muafakat Nasional (MN) sebelum wujudnya kerajaan PN lagi.

Bagi Ku Li, Umno perlu melawan PAS seperti dulu walaupun hakikatnya Umno tak pernah berjaya menumbangkan PAS di Kelantan sejak zaman Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat lagi.

Tidak cukup dengan itu, Ku Li dengan jelas mahu Umno bertanding di semua kerusi yang pernah dimiliki parti tersebut sebelum PRU14 lalu termasuk di Pagoh - kerusi parlimen yang sedang disandang oleh Perdana Menteri sekarang.

Jika ini bukan cubaan untuk meruntuhkan kerajaan PN, maka apa pula?

Bukan lagi rahsia keakraban hubungan persahabatan Ku Li dengan mantan Perdana Menteri Dr Mahathir yang pernah ditentangnya melalui Parti Semangat 46 dahulu.

Sekarang ini mereka sama-sama amat 'risau' jika Anwar Ibrahim dapat naik menjadi perdana menteri. Namun yang anehnya mereka berdua tidak pula menyokong kepimpinan Muhyiddin menerajui negara.

Bernas untuk difikirkan

Lantas siapa yang Ku Li mahu lihat jadi Perdana Menteri Malaysia? Adakah Mahathir buat kali ketiga? Adakah watak yang sedang menghadapi perbicaraan mahkamah kerana kes-kes korupsi sekarang ini?

Atau adakah Ku Li berasakan dirinya layak untuk mencuba nasib menjadi perdana menteri seperti cubaan-cubaan gagal beliau sebelum ini?

Jika dilayan suara ahli-ahli politik veteran yang masih dibuai sentimen dan nostalgia lama seperti Ku Li ini, maka bangsa kita tidak akan maju seperti bangsa-bangsa lain.

Kita akan terus berada dalam putaran dendam politik silam dan politik yang berasaskan ketaasuban terhadap personaliti tertentu sahaja.

Kita akan mewarisi perang politik orang-orang terdahulu yang banyak merugikan agama, bangsa dan negara.

Di sinilah cadangan Menteri Wilayah Persekutuan yang juga merupakan Setiausaha Agung BN, Annuar Musa, baru-baru ini cukup bernas untuk difikirkan bersama apabila beliau menyeru diwujudkan gabungan politik besar membabitkan parti-parti tempatan yang menolak Pakatan Harapan (PH).

Ia tidak terbatas kepada MN dan PN sahaja.

Amat berbeza pendekatan dan cara berfikir dua tokoh politik dari Kelantan ini yang dipisahkan dari segi usia.

Ku Li masih berfikiran Malaysia wajar dinaungi oleh satu parti autokratik tunggal seperti zaman 1980-an dulu.

Annuar pula mendendangkan penyatuan bangsa berskala nasional melalui perkongsian kuasa secara adil dan realistik antara parti-parti politik yang signifikan.

Secara peribadi, sebagai salah seorang watak orang baru dan orang muda dalam politik tanah air, saya fikir sudah tiba masanya warga Malaysia - khususnya Melayu-Islam - meninggalkan mentaliti politik silam berasaskan dominasi melampau parti tunggal serta politik yang bersandarkan ketaasuban terhadap susuk pemimpin lama tertentu yang sudah tentunya tidak maksum.


DR MUHAMMAD FAIZ NA'AMAN ialah anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.