Skip to main
Logo Malaysiakini

RUM pertahan Loke, ingatkan penglibatan syarikat China dalam projek KTMB lain

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (RUM) menyatakan sokongan kepada ahli parlimen Seremban Anthony Loke kerana menuntut jawapan dari Kementerian Pengangkutan berhubung dakwaan kontraktor dari China sedang disasarkan berkaitan projek Landasan Berkembar Elektrik di Lembah Klang Fasa Dua (KVDT2).

"RUM merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada YB Anthony Loke yang membangkitkan isu projek KVDT 2 yang banyak agenda tersirat," katanya pada satu kenyataan hari ini.

"RUM sedar masalah yang berlaku seperti mana kenyataan YB Anthony Loke mengenai kemungkinan penganugerahan diberikan kepada syarikat dari China, kerana isu pemberian kepada China bukanlah isu baru sebaliknya telah diperbualkan dalam pasaran (market talk) malah bukan sahaja projek KVDT 2 tapi projek - projek lain yang melibatkan KTMB.

"Masalahnya sukar dibuktikan selagi penganugerahan tidak dilakukan hanya sekadar perancangan awal yang cuba dilakukan ianya tidak boleh dianggap sebagai telah terlaksana dan tidak boleh dibuktikan, tetapi ianya wajar diutarakan agar hasrat untuk memberi projek kepada syarikat China tanpa "tender terbuka" boleh dihentikan.

"RUM beranggapan ianya adalah agenda tersirat kini telah diangkat oleh YB Anthony Loke di parlimen," kata kesatuan pekerja KTMB itu lagi.

Semalam, Loke memberitahu Dewan Rakyat bahawa dokumen mahkamah yang difailkan oleh kontraktor asal KVDT2 Dhaya Maju-LTAT Sdn Bhd, Mohamed Razeek Mohd Hussain Maricar mendedahkan bahawa Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong pada 14 April, telah mendesak firma itu untuk memberikan subkontrak keseluruhan projek tersebut kepada sebuah “syarikat China".

Bagaimanapun, plaintif, Dhaya Maju-LTAT, enggan melakukannya.

Loke kemudian mendesak Wee untuk mengulas berhubung dakwaan tersebut,

Wee, yang kini berada di hospital kerana sedang pulih daripada pembedahan spinal berkata pendedahan Loke itu “hanyalah tuduhan tidak berasas oleh DM-LTAT" dan dia akan mengulas mengenai perkara itu sejurus selepas dibenarkan keluar dari hospital.

Afidavit Mohamed Razeek telah difailkan pada 27 Oktober sebagai menyokong permohonan DM-LTAT berhubung injunksi terhadap keputusan kerajaan dalam menamatkan kontrak KVDT2 dan tender semula projek pemasangan landasan kereta api.

DM-LTAT dianugerahkan kontrak pada April 2018 semasa pentadbiran BN. Kontrak itu kemudian disemak semula sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan. Ia ditamatkan sewaktu kerajaan Perikatan Nasional.

Sementara itu, RUM berkata pihaknya tidak setuju dengan keputusan kerajaan persekutuan untuk membatalkan kontrak kerana akan menyebabkan kelewatan dan membahayakan keselamatan pengguna kereta api di Lembah Klang.

Tambah kesatuan itu lagi, pendapatan KTMB akan turut terjejas susulan kelewatan itu.

"RUM merasa sangat kecewa dengan permainan ini yang boleh menjejaskan matlamat perjuangan Rum ke arah 'Selamatkan KTMB, Selamatlah Pekerja', malah permainan ini boleh merencatkan pembangunan KTMB khususnya dalam situasi pendemik Covid-19, yang telah memberi kesan negatif kepada pendapatan KTMB.

"Malah boleh memberi implikasi besar kepada pekerja KTMB sehingga berlakunya pengurangan pekerja sekiranya kita gagal menangani masalah yang berlaku apatah lagi campurtangan Kementerian Pengangkutan secara terus yang boleh memberi kesan dari sudut pentadbiran KTMB," kata kesatuan itu lagi.

[Baca laporan asal]