Skip to main
Logo Malaysiakini

Tular motosikal terbakar, lelaki Orang Asli dapat bantuan Yapeim

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kisah sedih seorang lelaki Orang Asli yang tular di media sosial apabila motosikal yang dinaiki bersama dua anaknya terbakar di Plaza Tol Senai di Johor, Isnin lepas, ketika dalam perjalanan menguruskan permohonan Baitulmal mendapat perhatian Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

Pengurus YaPEIM Johor Tajul Ariffin Harun berkata pihaknya hari ini turun padang ke Kampung Orang Asli Kuala Masai, di sini bagi memberi sumbangan kepada Amran Ronggi, 29, dan keluarganya selepas mengetahui kejadian tersebut melalui media sosial.

“Sumbangan ini dalam bentuk barangan keperluan asas harian seperti minyak masak, beras, tepung, gula dan lain-lain,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu Amran mengucapkan terima kasih dan tidak dapat menahan sebak terhadap keprihatinan YaPEIM memberikan sumbangan yang disifatkan sangat bermakna buatnya yang kesempitan hidup.

Amran yang bekerja sebagai nelayan berkata dia sudah lama tidak turun ke laut ekoran pandemik COVID-19 menyebabkan kehidupan mereka sekeluarga semakin terhimpit sehingga dia terpaksa memohon bantuan Baitulmal.

“Dua hari lepas saya bersama dua anak lelaki, Mohamad, 10, dan Sharul, 7, dalam perjalanan ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Johor Bahru untuk buat pendaftaran surat beranak tiga daripada empat anak bagi memohon bantuan Baitumal.

“Dalam perjalanan, salah seorang anak beritahu kakinya terasa panas, saya kemudian berhenti memeriksa motosikal dan mendapati ia sedang terbakar. Mujur anggota polis di sana membantu, tetapi motosikal dah terbakar sepenuhnya dan tidak boleh dibaiki. Hanya boleh dijual sebagai besi buruk sahaja," katanya sebak.

Sejak September 2019 hingga November tahun ini, YaPEIM Johor telah menyalurkan sumbangan kepada 7,160 keluarga daripada golongan tidak berkemampuan.

- Bernama