Skip to main
Logo Malaysiakini

650,000 mohon moratorium pinjaman bersasar

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sejumlah 650,000 permohononan bagi moratorium bersasar telah diterima yang membabitkan kadar kelulusan sebanyak 98 peratus sejak dilaksanakan pada 1 Oktober lepas.

Timbalan Menteri Kewangan I, Abd Rahim Bakri berkata daripada permohonan diluluskan itu, sebanyak 40 peratus membabitkan pelanjutan moratorium.

“Ini terutamanya melibatkan individu yang baru sahaja kehilangan pekerjaan serta terbabit dalam perniagaan sektor yang mungkin masih mengalami kekangan operasi ketara akibat pandemik Covid-19.

“Sebanyak 60 peratus daripada permohonan yang diluluskan itu telah memilih pengurangan bayaran ansuran bulanan dan merangkumi peminjam dengan pendapatan yang telah berkurangan,” katanya di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) mengenai langkah-langkah institusi perbankan untuk terus membantu isi rumah serta perniagaan yang memerlukan bantuan selepas moratorium berakhir pada 30 Sept 2020.

Selain itu, Abd Rahim berkata kerajaan juga telah memberi moratorium ke atas pinjaman bank selama enam bulan secara pukal yang menjadi sebahagian daripada langkah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) untuk membantu meringankan beban rakyat dan perniagaan susulan kejutan pandemik berkenaan pada Mac 2020.

“Bagaimanapun, bermula 1 Okt, 2020 kerajaan telah melaksanakan moratorium secara bersasar khusus kepada individu dan isi rumah atau PKS yang kehilangan pekerjaan dan pendapatan terjejas sepanjang 2020 sehingga 2021,” kata beliau.

Abd Rahim menjelaskan, intipati moratorium bersasar yang bermula pada 1 Okt, 2020 itu melibatkan penangguhan bayaran balik pinjaman selama tiga bulan atau pengurangan bayaran ansuran bulanan yang sepadan dengan pengurangan pendapatan selama enam bulan.

- Bernama