Skip to main
Logo Malaysiakini

Hospital Tumpat kini terima kes Covid-19 sahaja

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Bermula semalam, Hospital Tumpat, Kelantan, hanya menerima kes pesakit Covid-19 sahaja susulan peningkatan kes di negeri itu sejak kebelakangan ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Dr Zaini Hussin, berkata susulan itu hospital berkenaan tidak menerima kemasukan dan rawatan kes-kes lain.

"Pendekatan itu sebahagian daripada kesiapsiagaan untuk menghadapi peningkatan kes Covid-19 sekiranya ia berlaku.

"Hospital berkenaan hanya menerima kes Covid-19 sahaja sehingga kes jangkitan menunjukkan trend menurun.

"Justeru, masyarakat yang tinggal di daerah berkenaan diminta ke hospital berdekatan di daerah lain untuk menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi, di Kota Bharu, hari ini.

Zaini Hussin

Terdahulu, tular di media sosial mengatakan Hospital Tumpat tidak menerima kemasukan kes lain, melainkan Covid-19 sahaja mulai malam tadi.

Tinjauan Malaysiakini mendapati, pintu utama Hospital Tumpat dikawal rapi oleh beberapa pengawal keselamatan.

Sementara itu Pengarah Hospital Tumpat Dr Aminah Rusmin Ghazali berkata, hospital tersebut sudan digazetkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak Mac lalu sebagai hospital bagi rawatan kes Covid-19 di Kelantan

"Ya betul, sejak Mac lalu lagi Hospital Tumpat digazet oleh KKM sebagai Hospital khusus untuk menempatkan pesakit Covid-19.

"Cuma bila kes berkurangan pada Jun lalu, kita terima semula untuk kes-kes lain. Apabila kes meingkat, kita tutup semula bermula semalam dan menerima kes Covid-19 sahaja buat masa ini," katanya ketika dihubungi.

Sebagai rekod, sehingga semalam negeri itu mencatatkan 56 kes aktif dengan dua kluster iaitu Kube dan Mengketil.