Skip to main
Logo Malaysiakini

S'pura jangka Biden ambil pendekatan konstruktif dalam perdagangan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

GLOBAL | Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) dilantik, Joe Biden cenderung mengambil pendekatan yang lebih konstruktif dan pelbagai hala dalam perdagangan dengan negara lain, terutama dalam rantau Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec), kata Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.

Beliau berkata Apec menghasilkan kemajuan yang perlahan dalam beberapa tahun lepas susulan pendekatan yang diambil oleh pentadbiran Donald Trump yang dilihat sebagai menjejaskan perdagangan di rantau itu.

Antara sebabnya adalah kerana pendekatan AS adalah untuk menangani isu-isu secara dua hala, bukannya secara pelbagai hala dengan beberapa negara dalam satu kumpula dan AS juga tidak memberi sokongan menjadikan perdagangan sebagai cadangan terhadap penyelesaian menang-menang.

"Sikap pentadbiran Trump melihat ia sebagai cadangan langkah untuk menang dan kalah. Sekiranya saya mempunyai lebihan dagangan dengan anda, itu bagus untuk saya. Sekiranya saya mempunyai defisit dagangan dengan kamu, maka ia tidak bagus bagi saya. Perdagangan tidak seperti itu.

"Tetapi itu adalah pandangan pentadbiran Trump, ia masih berkuasa hingga 20 Januari, tahun depan. Saya tidak fikir mereka mungkin akan mengubah pendapat mereka buat masa ini," katanya.

Lee berkata demikian semasa sesi perbincangan bertajuk “The Future of Global Growth” (Masa Depan Pertumbuhan Global) bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Singapore Business Federation, Ho Meng Kit pada Dialog CEO Apec yang diadakan secara maya hari ini.

Biden, bekas naib presiden dua penggal di bawah pemerintahan Barack Obama dan veteran Senat selama 36 tahun, memenangi pilihan raya AS bulan ini, beliau dijangka akan mengangkat sumpah sebagaipPresiden AS ke-46 pada 20 Januari, 2021.

"Kita harus melihat bagaimana pentadbiran Biden nanti. Saya berpendapat lebih banyak hubungan pelbagai hala dan AS akan memberi sokongan kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Apec.

"Saya tidak yakin bahawa mereka akan cenderung untuk membuka pintu seluas-luasnya atau menyertai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) kerana ia juga bergantung pada politik domestik," kata Lee.

Mengenai hubungan AS-China, beliau berkata hubungan tersebut sangat penting di bawah pentadbiran baru tetapi mungkin wujud banyak masalah sukar untuk ditangani.

"Hubungan AS dan China menjadi bertambah teruk sejak beberapa tahun lepas. Ramai orang di AS melihat China sebagai ancaman strategik bagi mereka dan ini adalah dwipartisan.

"Sebilangan besar pemerhati di China berpendapat bahawa AS ingin menggagalkan pembangunan dan kebangkitan China dan mereka berazam untuk tidak membiarkan AS menghalang pembangunan negara itu," katanya.

Lee berharap ia akan menjadi pendekatan yang lebih konsisten dan sistematik, mempertimbangkan lebih banyak perkara melibatkan kepentingan AS bukan hanya keseimbangan perdagangan, tetapi juga hubungan mereka dengan China serta kepentingan AS di Asia Pasifik dan di seluruh dunia.

- Bernama