Skip to main
Logo Malaysiakini

K'jaan setuju wujud kod tugas, fungsi setiausaha politik - Pejabat PM

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) hari ini bagi meningkatkan integriti mereka.

Pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataan memaklumkan keputusan penting itu antara perkara dicapai dalam mesyuarat berkenaan, yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi sidang video.

Kenyataan itu memaklumkan pewujudan kod tugas itu sesuai dengan objektif pelantikan setiausaha politik dalam membantu menguruskan hal ehwal berkaitan urusan politik sahaja.

"Oleh itu bagi melengkapkan peningkatan integriti dalam proses sokongan, arahan Perdana Menteri berkaitan Kod Tugas dan Fungsi Setiausaha Politik ini dapat menyempurnakan arahan terdahulu yang telah dikeluarkan khusus untuk pegawai kerajaan," menurut kenyataan itu.

Pada mesyuarat berkenaan, tujuh kertas mesyuarat dibincang dan dimaklumkan kepada ahli JKKMAR yang memfokuskan kepada inisiatif-inisiatif untuk menambah baik governans dan integriti dalam memerangi rasuah sepertimana digariskan dalam Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 (NACP).

Mesyuarat juga secara prinsip bersetuju dengan syor Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk melaksana Program Authorized Economic Operator (AEO) di peringkat nasional yang bertujuan meningkatkan pematuhan industri, keselamatan dan fasiliti perdagangan di sempadan melibatkan urusan import eksport.

Bagi memantapkan proses tatatertib dalam awam, mesyuarat juga bersetuju agar perbincangan diadakan antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Jabatan Peguam Negara bagi membolehkan Laporan SPRM dan Laporan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dijadikan sebagai keterangan dalam prosiding tatatertib.

"Ia bertujuan meningkatkan keberkesanan tindakan tatatertib diambil oleh jabatan-jabatan. Ini termasuk menjadikan Pemantauan Status Maklum Balas Laporan SPRM dan Laporan EAIC sebagai satu agenda tetap dalam Mesyuarat Jawatankuasa Anti-Rasuah (JAR) Kebangsaan/ Negeri/ Jabatan," menurut kenyataan itu.

Mesyuarat juga secara prinsip bersetuju supaya GIACC bersama menteri-menteri kanan, KSN, Jabatan Peguam Negara dan SPRM untuk memperhalusi garis panduan pengeluaran surat sokongan oleh anggota pentadbiran sebagai langkah memantapkan integriti dan tadbir urus anggota pentadbiran.

Turut dipersetujui ialah dua syor Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi menambah baik tatacara dan kaedah penilaian tender melalui peningkatan integriti maklumat dalam memastikan keberkesanan penilaian tender, menurut kenyataan itu.

Dua syor berkenaan ialah mengadakan satu usahasama antara JKR, dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk menggunakan maklumat yang terdapat dalam pangkalan data agensi bagi tujuan penilaian tender dan menguatkuasakan syarat bon tender bagi tender tertentu kerajaan.

Mesyuarat berkenaan juga secara prinsip bersetuju supaya satu kajian komprehensif berkaitan Pewujudan Peruntukan Undang-Undang baru berkenaan Perjanjian Penangguhan Pendakwaan (Deferred Prosecution Agreement) secara bersama oleh Jabatan Peguam Negara dan SPRM berkaitan peruntukan Liabiliti Korporat.

"Kajian ini adalah bagi melihat mekanisme dan penanda aras bagi suatu organisasi komersial yang telah dipertuduh di bawah Seksyen 17A (4) ASPRM (Akta SPRM)," menurut kenyataan itu.

Mesyuarat hari ini turut mengambil maklum mengenai usaha menyebar luas aspek governans, integriti dan antirasuah melalui promosi dan publisiti media yang akan dipergiatkan berdasarkan konsep normal baru, menurut kenyataan itu,.

- Bernama