Skip to main
Logo Malaysiakini

Mari sertai sambutan ulang tahun ke-21 Malaysiakini

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ketika itu tahun 1999. Gelombang dotcom berada di puncaknya.

Ia dicetuskan oleh Netscape, pelayar (browser) pilihan pada masa itu yang memulakan Tawaran Awam Permulaan (IPO) beberapa tahun sebelum itu, menyebabkan nilai pasaran hampir AS$3 bilion.

Ia situasi yang tidak pernah terjadi untuk sebuah syarikat yang ditubuhkan hanya beberapa bulan sebelumnya, dan belum pun mendapat satu sen keuntungan.

Google pula baru sahaja mula bertapak. Ketika itu, Yahoo merupakan peneraju enjin carian.

Di Malaysia, pada masa itu, kita berdepan dengan pergolakan ekonomi dan politik yang begitu teruk. Krisis "tom yam kung" - digelar sedemikian kerana berpunca di Thailand - memberi tempias hebat kepada negara.

Rentetan krisis itu, perdana menteri Dr Mahathir Mohamad memecat timbalannya, Anwar Ibrahim. Laungan reformasi bergema, menyaksikan puluhan ribu orang protes di jalan raya.

Menjangkakan lebih banyak lagi masalah yang akan berlaku, Mahathir memutuskan PRU mengejut diadakan pada 29 Nov.

Sebulan sebelum itu, Premesh Chandran, pengasas bersama Malaysiakini, menyewa sebuah pejabat lot kedai di Seksyen 14, Petaling Jaya.

Di tingkat lima, ruang itu dahulunya diduduki sebuah syarikat seni, dengan deretan kabinet hijau muda di dinding. Itulah pejabat Malaysiakini yang pertama.

Saya ketika itu baru pulang dari Thailand setelah berhenti kerja di sebuah akhbar Bangkok. Belum sempat cari tempat tinggal, saya terus ikut serta membuat persiapan untuk melancarkan laman web berita dalam talian pertama di Malaysia.

Saya hanya tidur di kubikel kecil di bahagian belakang pejabat. Pada waktu kerja, ruang itu menjadi tempat solat kakitangan beragama Islam.

Bukanlah saya mengeluh. Keadaan kami barangkali jauh lebih baik berbanding syarikat Internet lain yang baru bermula. Ramai yang bermula di garaj atau di rumah, apa yang memacu mereka hanyalah harapan untuk membangunkan aplikasi unggul yang dapat mengubah dunia.

Berbalik kepada Malaysiakini, cita-cita kami pula lebih sederhana. Kami hanya mahu mengubah Malaysia.

Kami mengambil tiga wartawan yang masih hijau dan seorang pereka laman web yang berusia 19 tahun sebagai pekerja.

Dilengkapi dengan modem dial-up, kami memuat naik berita pertama pada 20 Nov - hari penamaan calon untuk PRU10.

Ketika itu, tak ada Facebook, Twitter, WhatsApp, WeChat mahupun Instagram. Kami hanya bergantung kepada buah mulut orang untuk menyebar berita tentang kewujudan dan kerja-kerja kami.

Seperti dijangka, Malaysiakini bermula perlahan. Tetapi tidak lama kemudian, trafik kami berkembang, daripada 500 pelawat ke 5,000, dan kemudiannya 50,000.

Prestasi BN merosot teruk dalam PRU10. Meskipun BN kekal sebagai kerajaan dan Mahathir sebagai perdana menteri, ramai orang Melayu meninggalkan Umno untuk menyokong PKR dan PAS.

Ironi sekali, Mahathir diselamatkan oleh pengundi bukan Melayu yang nampaknya dilanda ketakutan akibat rusuhan di Jakarta beberapa bulan sebelumnya, yang menyaksikan Suharto tersingkir di Indonesia.

Sejak zaman bertatih itu, kami sempat merakam empat lagi PRU, melihat pertukaran kerajaan pertama negara ini dan, ya, kembalinya Mahathir.

Tugas sukar

Kewartawanan menuntut komitmen kental dalam mencari kebenaran.

Tidak mengejutkan, di negara yang mana kebenaran diganggu gugat oleh mereka yang rasa terancam dengan kuasa penulisan (dan gambar), kewartawanan bukan sahaja menjadi tugas yang mencabar, bahkan berbahaya.

Malaysia tidak terkecuali.

Kami digelar ‘pengkhianat’ oleh seorang perdana menteri dan disaman oleh seorang perdana menteri yang lain. Kami diasak dengan serangan siber, diusir daripada sidang media, beberapa wartawan kami ditangkap dan pejabat kami diserbu polis sekurang-kurangnya lima kali.

Kami bukan sahaja perlu berdepan dengan kuasa politik yang memusuhi dan mahu menguburkan kami, tetapi juga perlu berdepan ragam ekonomi internet yang pantas berubah.

Kewujudan Malaysiakini berdiri di atas satu prinsip yang tidak pernah berubah - media bebas perlu bergantung kepada kewangan yang bebas. Tetapi, untuk membuatkan orang membayar untuk kandungan dalam talian adalah usaha sukar.

Banyak portal sezaman kami tak dapat bertahan. Kami terus mara walau ia bukan sesuatu yang mudah. Ada kala kami berasakan yang kami juga mungkin terpaksa gulung tikar.

Bagaimanapun kami mampu bertahan kerana sokongan daripada komuniti pelanggan Malaysiakini yang semakin berkembang.

Salah satu syarikat Internet yang gulung tikar ialah Netscape. Meskipun meraih berbilion dana dalam pasaran saham, ia akhirnya terkubur oleh Microsoft. Bagaimana ini terjadi? Itu cerita lain.

Jadi, adakah kami berjaya mengubah Malaysia? Keputusan muktamad masih belum diketahui. Tetapi Malaysia memang telah berubah - daripada zaman gelap ketika orang takut-takut berbicara soal politik sehinggalah hari ini, di saat rakyat tahu bahawa mereka ada kuasa untuk mengubah kerajaan.

Tetapi ada satu hal yang tidak berubah - Malaysiakini. Nilai yang kami pegang masih sama seperti 21 tahun dahulu - untuk menyampaikan kebenaran dan memastikan kebertanggungjawaban mereka yang memegang kuasa.

Kami akan terus berdiri teguh di atas isu-isu yang menggerakkan kami untuk menubuhkan Malaysiakini. Antaranya ialah antikorupsi, tadbir urus yang baik, mempertahankan hak asasi manusia dan melindungi alam sekitar, kebebasan kehakiman, dan kebebasan media.

Hari ini, usia kami genap 21 tahun dan tugas kami diteruskan. Kami berterima kasih kepada mereka yang bersama kami dalam perjalanan selama 21 tahun ini. Dan kami harap lebih ramai yang akan turut serta.

Bagi meraikan ulang tahun ke-21 ini, kami menawarkan potongan 21 peratus kepada semua pelanggan baru dan sedia ada untuk tujuh hari akan datang. Tawaran istimewa ini akan tamat pada Jumaat depan, iaitu 27 Nov.

Klik di sini untuk melanggan Malaysiakini. Sertai kami hari ini.

Bersama-sama, kitalah yang akan menjadi perubahan yang ingin kita lihat berlaku di Malaysia - atau mungkin di dunia.

Langgani Malaysiakini dengan diskaun 21 peratus di sini.


STEVEN GAN ialah ketua editor dan pengasas bersama Malaysiakini.