Skip to main
Logo Malaysiakini

Dr Noor Hisham pertahan keberkesanan PKP

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Nota editor: Klik di sini untuk laporan kes baru harian Covid-19.

Pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) terbukti berkesan mengurangkan penularan wabak Covid-19, malah ia dapat dilihat seawal 10 hari selepas ia dikuatkuasakan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

“Kalau kita lihat lockdown (kawalan pergerakan) yang dilaksanakan dengan cepat dalam tempoh 10 hari saja, kalau semua orang duduk di rumah 10 hari, kita boleh kurangkan kes.

“Kalau kita lihat, tindakan penjarakan fizikal dan juga menggunakan kaedah lockdown yang cepat, kita boleh putuskan jangkitan Covid-19 dalam negara.

“Inilah bukti-bukti yang telah diterbitkan di jurnal-jurnal antarabangsa,” katanya merujuk satu tinjauan membabitkan 202 buah negara dan tinjauan lain yang melibatkan 149 buah negara.

Noor Hisham bercakap kepada pemberita ketika taklimat khas Covid-19 di Kementerian Kesihatan di Putrajaya hari ini.

Dia berkata, bukti menunjukkan PKP yang merupakan langkah mencegah dan mengawal, lebih efektif menurunkan bilangan kes Covid-19 berbanding pendekatan ‘imuniti kelompok” yang diguna pakai di negara lain seperti Sweden.

Pada April, model ramalan oleh JP Morgan dan Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER) meramalkan Malaysia akan mencecah puncak penularan antara 6,000 ke 8,000 kes, kata Noor Hisham.

“Tapi dengan lockdown dan tindakan kesihatan awam, kita berjaya meratakan lengkuk dengan lebih cepat. Tak mencapai pun 6,300 kes,” katanya.

Pada ketika itu, katanya, kerajaan juga tidak pasti jika PKP akan berkesan kerana tiada pihak pernah mempunyai pengalaman berdepan dengan wabak sedemikian.

Bagaimanapun, katanya lagi, hasil langkah itu menunjukkan bahawa PKP berjaya meratakan lengkuk jangkitan dalam gelombang kedua.

Buat masa ini pula, kata Noor Hisham, kerajaan melaksanakan PKP bersyarat (PKPB) di beberapa negeri yang diharapkan berjaya meratakan lengkuk dalam beberapa minggu yang akan datang.

Katanya, kerajaan kali ini melaksakan PKPB berbanding PKP memandangkan PKP akan memberi kesan besar kepada ekonomi.

Katanya lagi, sekiranya setiap orang patuh prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan, maka tidak akan timbul keperluan untuk menguatkuasakan PKP.

Sementara itu, menerusi kenyataan media selepas taklimat itu, dia mengumumkan Malaysia mencatatkan 1,041 kes Covid-19 hari ini.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.