MIC WP sambut baik larangan jual arak di kedai runcit KL
MIC Wilayah Persekutuan sambut baik keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan garis panduan baru mengenai lesen minuman keras yang mula berkuat kuasa dari 15 November.
Garis panduan itu antara lain melarang penjualan minuman keras jenis liquor di kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat Cina di Kuala Lumpur mulai Oktober tahun depan.
Ketua Penerangan MIC Wilayah Persekutuan D Pala Kumaran berkata bahawa garis panduan baru itu satu keperluan di Kuala Lumpur selaku salah satu kota yang sedang maju dan tidak terlepas dari masalah sosial yang wujud akibat peminum arak yang tidak bertanggungjawab.
"Segelintir dari golongan ini juga secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam jenayah domestik dan awam yang tiada jalan penyelesaiannya.
"Salah satu sebab terjadinya isu ini adalah ianya amat mudah untuk mendapatkan samsu atau minuman beralkohol di kedai-kedai berhampiran dengan kawasan perumahan. Bukan sahaja orang dewasa, malah segelintir orang-orang muda juga menjadi hamba kepada minuman beralkohol ini.
"Akibatnya, bukan sahaja kesihatan yang terjejas, malah mereka-mereka ini juga tercicir dari arus perubahan dan pembangunan negara kerana dikawal oleh bahana arak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beberapa pihak sebelum ini membantah garis panduan baru penjualan minuman keras itu, antara lain, dengan menyifatkan ia sebagai memberi kesan negatif kepada ekonomi yang sudah sedia terjejas akibat wabak Covid-19.
Sementara itu, Palakumaran menambah, pihaknya mengalu-alukan keputusan tersebut sambil menyatakan MIC telah giat berkempen selama beberapa dekad yang lalu untuk menghapuskan jualan samsu haram dan arak secara berleluasa di negeri ini.
"Di bawah kepimpinan bekas Presiden S Samy Vellu, parti tersebut telah memberi beberapa memorandum kepada pihak DBKL dan kementerian berkaitan untuk tujuan ini.
"Tambahan pula, wakil MIC dalam Lembaga Penasihat dan Lembaga Eksais DBKL sering kali mengetengahkan keperluan untuk memperketatkan peraturan penjualan samsu dan alkohol di Kuala Lumpur.
"Komitmen MIC dalam isu ini telah membuahkan hasil apabila pihak DBKL memperkenalkan Garis Panduan Lesen Minuman Keras (LMK) baharu pada bulan ini," katanya.
Untuk rekod, dalam garis panduan baru termaktub pengharaman jualan samsu sepenuhnya mulai 15 Disember 2020.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai