Skip to main
Logo Malaysiakini

Selepas tak lagi terbang akibat Covid-19

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pada 31 Oktober lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khasnya menyatakan 800,000 individu sejak berlakunya penularan wabak Covid-19.

Industri penerbangan adalah antara yang paling teruk terjejas, dengan sekatan perjalanan dan penutupan sempadan yang berlaku di seluruh dunia.

Sejak itu, banyak syarikat penerbangan mengambil pendekatan memberi cuti tanpa gaji serta memberhentikan pekerja.

Keadaan itu masih berterusan sehingga kini walaupun sejumlah negara mula membincangkan dasar gelembung perjalanan, iaitu persetujuan antara negara yang berjaya mengekang penularan Covid-19 untuk membuka semula sempadan bagi membolehkan perjalanan rentas negara.

Malaysiakini bertemu dengan beberapa pramugari dan berikut adalah kisah mereka.

Tujuh bulan penuh makna - Nurfarahin Md Fazlin, 22

Siapa sangka saya akan kembali ke bidang makanan hanya setelah beberapa bulan meninggalkannya untuk “terbang”.

Saya adalah lepasan diploma seni pastri dan bakeri, maka tamat saja pengajian diploma, saya memulakan perniagaan makanan sendiri.

Bagaimanapun, selang beberapa bulan, saya mula merasa bosan dan inginkan cabaran baru.

Saya mula mencari kerja lain dan ternampak iklan kekosongan jawatan kru kabin di sebuah syarikat penerbangan.

Selepas melepasi tiga saringan temuduga, saya berjaya ke peringkat akhir dan tidak lama kemudian, bermulalah kehidupan baru saya sebagai pramugari.

Rutin harian berubah sepenuhnya. Setiap hari, saya akan bangun tiga atau empat jam lebih awal sebelum melaporkan diri di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Saya tidak akan lupa untuk membaca buku manual sebelum naik ke pesawat. Di sana, antara tugas tarawal kami adalah memastikan semua peralatan keselamatan berfungsi.

Saya banyak melakukan penerbangan sekitar India dan Indonesia. Pastinya ini antara pengalaman paling manis buat saya dan rakan-rakan sekerja yang lain.

Namun begitu, kerjaya sebagai pramugari tidak bertahan lama, hanya tujuh bulan sahaja. Sekurang-kurangnya setakat ini.

Pengalaman dan rungutan

Sebenarnya, saya tidak menyangka akan menjadi antara kakitangan paling awal yang dilepaskan.

Di hari terakhir bertugas, saya tidak merasakan apa-apa yang pelik.

Kami kemudian menerima emel daripada pengurusan yang mengatakan kami perlu mengambil cuti tanpa gaji.

Bagaimanapun sebenarnya saya sedikit sebanyak mula berasa risau sebelumnya, apabila banyak penerbangan dibatalkan dan pihak pengurusan mula menamatkan kontrak pramugari, tidak lama selepas pelaksanaan PKP.

Bagaimanapun, saya tetap mensyukuri pengalaman selama tujuh bulan ini.

Saya dapat berjumpa ramai kenalan baru dan hidup menjadi lebih produktif.

Kini, saya terkenang rungutan terpaksa bangun awal setiap pagi, juga cabaran lamban jet (jetlag) apabila ditugaskan untuk perjalanan ke luar negara.

Masakan rungutan-rungutan ini dapat menandingi pengalaman merantau ke tempat asing dan mencuba makanan baru.

Apa-apa pun, saya tidak sedih kerana pasti ada hikmah di sebalik apa yang berlaku.

Sekarang, saya mempunyai lebih banyak bersama keluarga dan menjadi lebih penyabar dan pada masa sama, kekal produktif.

Saya akan bangkit semula. Kini saya menghidupkan kembali perniagaan makanan yang dijalankan sebelum ini, dengan nama Sky Pastries.

Jangka pelbagai kemungkinan - Nurul Shazwanie Roslan, 27

Pastinya ramai yang terkesan selepas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan, termasuk saya.

Saya diberhentikan kerja setelah tiga tahun bertugas sebagai pramugari. Boleh dikatakan perjalanan itu bermula dengan percubaan nasib.

Kira-kira setahun bekerja sebagai pegawai pemasaran setelah tamat pengajian, saya ternampak iklan kekosongan jawatan pramugari dan memberanikan diri untuk mencuba.

Sejak hari pertama mengenakan seragam, saya dapat merasai pelbagai pengalaman.

Saya gembira dapat mengembara ke negara-negara luar yang diidamkan. Biasanya saya cuba mengatur penerbangan bersama kawan-kawan rapat agar ia lebih menyeronokkan.

Dan tentunya saya perlu berdepan kerenah penumpang. Antaranya yang merokok di dalam pesawat.

Cabaran yang tak dapat dilupakan adalah apabila tiba-tiba fungsi penyaman udara pesawat berdepan masalah. Ketika itu, kami dalam penerbangan ke Bali, Indonesia.

Apatah lagi ia berlaku ketika saya baru saja memulakan tugas sebagai pramugari.

Saya menyaksikan para penumpang mula panik, malah ada yang seperti orang gila. Sesetengahnya tidak mahu makan hidangan yang dibawa, ada juga sehingga melakukan kekasaran terhadap kru kabin.

Lebih memburukkan keadaan, saya diserang asma selama dua jam.

Wabak pun melanda

Namun semuanya tinggal kenangan. Tugas terakhir saya sebagai pramugari adalah pada Julai lalu.

Saya antara 2,200 kru kabin syarikat yang diberhentikan kerja pada akhir Oktober 2020.

Beberapa bulan sebelumnya, banyak penerbangan dibatalkan akibat wabak Covid-19.

Saya sebenarnya sudah menjangkakannya kerana penularan Covid-19 kian memburuk, walau tetap mengharap yang terbaik.

Ketika itu, syarikat menyediakan tiga pilihan untuk kami, iaitu cuti tanpa gaji, cuti tanpa gaji jangka panjang atau melakukan penerbangan seperti biasa tanpa perlu mengambil cuti.

Pada mulanya saya merasakan akan termasuk di kalangan yang dapat melakukan penerbangan seperti biasa.

Namun jangkaan itu meleset dan saya termasuk di kalangan mereka yang diberhentikan.

Buat masa ini, demi memastikan kelangsungan hidup, saya menjual manisan, kek dan biskut.

Sambutannya agak memberangsangkan dan saya masih dapat menampung kehidupan dan melangsaikan bebanan hutang.

Wawancara telah disunting untuk kejelasan.