Skip to main
Logo Malaysiakini

5 maut, 40 jemaah diculik dalam serangan masjid di Nigeria

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

GLOBAL l Sekurang-kurangnya lima jemaah terbunuh dan 40 yang lain diculik ketika lelaki bersenjata menyerang sebuah masjid di barat laut Nigeria, lapor Agensi Anadolu, memetik laporan media tempatan pada Ahad.

Serangan oleh kumpulan bersenjata itu berlaku di sebuah masjid di negeri Zamfara dan Imam masjid tersebut antara yang dilaporkan diculik.

Jurucakap Polis Negeri Zamfara, Muhammed Shehu berkata pasukan keselamatan dihantar ke wilayah itu bagi menjalankan siasatan.

Di bahagian barat laut negeri itu pertelingkahan sering berlaku antara penternak dari kalangan masyarakat Fulani, satu daripada etnik terbesar di Afrika Barat, dan suku-suku lain yang berpindah-randah.

Fulani, yang berhijrah ke selatan untuk mencari padang ragut buat ternakan mereka, mendakwa petani di kawasan itu cuba mencuri ternakan dan menyerang orang-orang mereka.

Kumpulan bersenjata adakalanya mengambil kesempatan di sebalik konflik itu dan mengatur serangan.

Hampir 2,000 orang kehilangan nyawa di rantau ini dengan ribuan yang lain hilang tempat tinggal. Selepas menandatangani perjanjian "mengakhiri permusuhan" antara beberapa kumpulan bersenjata pada Ogos 2019, lebih 2,000 anggota meletakkan senjata mereka.

Sementara itu Bernama yang memetik agensi Anadolu melaporkan sekurang-kurangnya sembilan orang dilaporkan terbunuh di timur laut Nigeria apabila pengganas Boko Haram menyasarkan konvoi milik gabenor negeri Borno pada Sabtu.

Menurut laporan media tempatan, anggota kumpulan pengganas menyerang konvoi Gabenor Babagana Zulum di laluan Gajiram-Monguno, membunuh tujuh anggota tentera dan dua orang awam,

Zulum berjaya melarikan diri tanpa cedera, ini serangan ketiga terhadapnya dalam tempoh tiga bulan.

Lebih 30,000 orang terbunuh dan hampir tiga juta kehilangan tempat tinggal akibat keganasan Boko Haram sejak sedekad di Nigeria, menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut agensi itu keganasan Boko Haram telah menjejaskan 26 juta penduduk di wilayah Lake Chad dan 2.6 juta yang lain terpaksa berpindah.