Skip to main
Logo Malaysiakini

KATA MP| Hilang hala tuju pembangunan tenaga boleh baharu

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Saya menerima jawapan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) bertarikh 10 November 2020 yang menyatakan kementerian sedang mengkaji semula sasaran 20% tenaga boleh baharu (TBB) menjelang 2025 dan ingin menetapkan sasaran TBB yang lebih inklusif.

Ini amat mengejutkan dan jelas Malaysia bawah pemerintahan kerajaan PN telah hilang hala tuju dalam pembangunan TBB.

Sebelum ini, kerajaan PH menetapkan sasaran peningkatan TBB dalam penjanaan elektrik kepada 20% menjelang tahun 2025, tidak termasuk penjanaan hidro besar yang melebihi 100 megawatt.

Sasaran ini, antara lain, membantu penurunan pelepasan karbon negara dan berpotensi menjana RM33.2 bilion pelaburan dan 100,000 peluang pekerjaan baharu.

Kerajaan PN tidak mempunyai kemahuan politik untuk membangunkan sektor TBB di Malaysia.

Jawapan KeTSA menunjukkan PN seolah-olah mengaku kalah sebelum masuk ke medan perang, walaupun kita masih ada masa empat tahun untuk mencapai sasaran 20% yang ditetapkan.

Sekiranya KeTSA tidak mempunyai idea baharu, sekurang-kurangnya ia boleh meneruskan hala tuju MESTECC yang telah ditetapkan sebelum ini.

Antaranya, renewable energy transition roadmap (RETR) yang merupakan usaha sama jabatan-jabatan seperti sektor tenaga MESTECC, Seda, Suruhanjaya Tenaga (ST) dan pemegang kepentingan industri telah dimuktamadkan sejak Februari lepas dan sedia dilancarkan pada April 2020.

Namun, tiada sebarang perkembangan untuk pelancaran RETR setelah pengambilalihan pemerintahan oleh kerajaan PN.

Kita juga tidak nampak apa-apa usaha baharu dalam sektor pembangunan TBB diumumkan oleh kerajaan PN.

Apa yang sudah berlaku?

Pada masa yang sama, atas kegagalan pemerintahan PN dalam memahami keperluan industri, pemain industri TBB juga berasa kehilangan hala tuju dan keyakinan apabila tiada pengumuman oleh PN berkenaan rancangan pasca-NEM 2.0 (Net Energy Metering 2.0).

Konsep ‘1 to 1 off-set’

Pemerintahan PH sebelum ini memperkenalkan konsep 1 to 1 off-set yang lumayan dalam NEM 2.0 dan membawa pengambilan kuota NEM yang besar dalam masa dua tahun kebelakangan ini.

Laman sesawang Seda menunjukkan hampir 400 megawatt kuota NEM telah dipenuhi dan ini bermaksud lebih 95% kuota yang dipenuhi ini adalah hasil daripada konsep baharu di bawah NEM 2.0.

NEM 2.0 akan tamat tempoh pada 31 Disember 2020 dan sehingga kini, industri masih sedang menunggu jawapan sama ada NEM 3.0 akan diperkenalkan dan sama ada ia akan meneruskan pulangan 1 to 1 off-set seperti dalam NEM 2.0.

Kelewatan ini menyebabkan pelabur dan pemain industri hilang keyakinan.

Kerajaan PH telah meletakkan segala usaha di atas landasan yang betul dan kerajaan PN hanya perlu memastikan prestasi pelaksanaannya.

Namun, PN nampaknya bersikap lebih cenderung untuk mematikan polisi-polisi baik tersebut.


WONG KAH WOH ialah ahli parlimen Ipoh Timor dan bekas pengerusi Sustainable Energy Development Authority (Seda).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.