Skip to main
Logo Malaysiakini

PM Thai nafi kemungkinan rampasan kuasa

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

GLOBAL | Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha hari ini menolak desas-desus tentang rampasan kuasa bagi mengakhiri ketegangan politik di negara itu ketika tekanan mendesak bekas pemimpin tentera tersebut meletak jawatan semakin hebat.

Prayuth yang juga menteri pertahanan berkata beliau tidak mahu tunjuk perasaan oleh pihak antikerajaan dan penyokong raja bertukar ganas.

“Saya perdana menteri dan saya tidak mahu rakyat Thailand saling berbunuhan sekali lagi. Saya tidak mahu mana-mana pihak menggunakan keganasan lagi, khususnya ketika Covid-19.

“Masalah kita sudah cukup banyak dalam mengatasi (cabaran) ekonomi,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat mingguan jemaah menteri di Rumah Kerajaan di Bangkok hari ini.

Beliau ditanya tentang kemungkinan berlaku pertembungan di antara pihak antikerajaan dan penyokong raja yang boleh membawa kepada rampasan kuasa oleh tentera.

Raja Thailand Maha Vajiralongkorn.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Thailand menguncup 6.4 peratus pada suku ketiga, lebih kecil berbanding yang dijangkakan, menunjukkan pemulihan selepas mencatatkan penurunan 12.1 peratus pada suku kedua - penguncupan paling besar dalam tempoh dua dekad.

Bank of Thailand menjangkakan kegiatan ekonomi di negara itu mengambil masa dua tahun untuk kembali kepada tahap sebelum penularan Covid-19.

Ketidaktentuan politik di Thailand yang berlaku sejak pertengahan Julai menuntut perubahan politik termasuk peletakan jawatan oleh Prayuth, pembubaran Parlimen, penggubalan semula perlembagaan dan pembaruan terhadap sistem raja.

Ketegangan meningkat sejak minggu-minggu kebelakangan ini apabila penyokong raja turut mengadakan tunjuk perasaan.

Bantahan yang diadakan di luar Parlimen pada Selasa lepas bertukar ganas apabila polis antirusuhan menembak gas pemedih mata dan meriam air bagi menyuraikan penunjuk perasaan antikerajaan, menyaksikan 55 cedera termasuk enam yang terkena tembakan senjata api.

Kumpulan antikerajaan dijangka mengadakan satu lagi bantahan pada Rabu ini dengan seorang daripada pemimpin pelajar dipetik berkata “akan berlaku satu kejutan besar” pada protes itu.

- Bernama