Skip to main
Logo Malaysiakini

Hampir 200 mangsa banjir dipindahkan di Terengganu

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Gelombang kedua banjir di Terengganu sudah bermula.

Hujan lebat sejak semalam menyebabkan beberapa kawasan rendah di tiga daerah dinaiki air dan setakat 7.30 pagi tadi, empat pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata seramai 192 mangsa daripada 57 keluarga dipindahkan ke empat PPS di Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Dungun.

"PPS pertama dibuka ialah Sekolah Kebangsaan Chendering di Kuala Terengganu yang menempatkan 15 mangsa daripada lima keluarga diikuti dua PPS di Kuala Nerus iaitu SK Tok Jembal (151 mangsa daripada 46 keluarga) dan Balai raya Alor Damat (empat mangsa, sekeluarga) serta Dewan Sivik Seberang Pintasan di Dungun (22 mangsa daripada enam keluarga).

"Ketika ini, pemindahan penduduk juga sedang dilakukan di daerah Setiu namun perinciannya masih dikemas kini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Che Adam turut menasihatkan agar penduduk di kawasan terjejas banjir agar mematuhi arahan pihak berkuasa untuk segera berpindah.

Untuk rekod, gelombang banjir pertama di Terengganu berlaku pada 18 Nov namun hanya melibatkan daerah Setiu.

Sementara itu, tinjauan Bernama di sekitar Tok Jembal, Kuala Nerus malam tadi mendapati beberapa buah rumah telah dinaiki air hingga menyebabkan penduduk terpaksa berpindah ke PPS.

Salah seorang mangsa, Azman Sulong, 46, berkata kawasan perumahan Taman Murni Permai mula dinaiki air kira-kira pukul 6 petang semalam dan ia pengalaman pertamanya kerana baru sahaja berpindah ke taman itu.

"Semua barang elektrik bersaiz besar seperti mesin basuh dan peti sejuk, saya tidak sempat alih ke tempat tinggi kerana air masuk dalam rumah dengan tiba-tiba," katanya ketika ditemui di kediamannya.

Selain itu, Zaharah Wahab, 46, dari taman perumahan sama berkata kawasan tersebut sering mengalami banjir kilat jika hujan berterusan dalam tempoh beberapa jam dan dia mengalami keadaan sedemikian sejak 10 tahun lalu.

- Bernama