Maszlee persoal kelewatan kandungan TV Pendidikan
PARLIMEN | Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik mempersoalkan apakah jaminan Kementerian Pendidikan agar kandungan TV Pendidikan dapat disiapkan selepas tarikh tamat projek yang diberikan kepada syarikat Radius One Sdn Bhd (Radius One) itu dilanjutkan.
Bekas menteri pendidikan itu turut bertanya mengapa syarikat tersebut hanya mengambil tempoh yang begitu lama untuk menyiapkan 25 daripada 800 siri kandungan yang diperlukan.
“Apakah jaminan yang boleh diberikan menyiapkan selebih 700 lebih apabila dilanjutkan tempoh?” soalnya ketika mencelah penggulungan Menteri Pendidikan Dr Radzi Jidin bagi Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Radzi berkata projek tender terbuka yang bernilai RM1.92 juta itu mengalami kelewatan kerana terjejas akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada Mac lalu.
Oleh itu, dia berkata tarikh tamat projek itu dilanjutkan dari 30 Nov 2020 kepada 31 Mac 2021.
"Pada masa ini syarikat terbabit menghasilkan 25 episod video pendidikan yang telah disiarkan dan 63 sedia untuk disiarkan, manakala 712 episod lagi masih dalam pelbagai peringkat penghasilan,” kata Radzi.
Maszlee turut mempertikaikan kadar harga bagi setiap episod kandungan TV Pendidikan itu dibuka jauh daripada harga pasaran.
“Ketika (projek) dibuka, ianya dibuka jauh bawah harga pasaran. Contohnya diberikan untuk satu minit tawaran (dengan) harga RM1,000.
“Untuk satu siri ialah RM2,500. Ini jauh daripada harga pasaran yang mana biasanya harga pasaran tempoh untuk satu minit adalah RM1,000 dan diminta 25 minit (dengan) harga penawaran RM2,500… walhal harga pasaran ialah RM1,000 seminit. Maksudnya RM25,000.
“Maka syarikat manakah yang berani masuk?” katanya.
Maszlee juga berkata dia melihat apa yang dilakukan kerajaan itu sebagai projek yang gagal atau bertangguh atas faktor harga rendah berbanding pasaran itu.
Jelasnya, apabila pemberian satu proses penghasilan rancangan TV Pendidikan itu diberikan pada bawah harga pasaran, maka ia terdedah untuk penangguhan.
“Ini merupakan penggadaian terhadap masa depan anak-anak kita,” katanya.
Untuk rekod sebelum ini Radius One memberitahu Malaysiakini penghasilan kandungan tersebut sedang berjalan tanpa sebarang masalah.
"Semua berjalan lancar. Memang orang kata inilah pertama kali Radius One dapat menyumbang untuk pendidikan negara kita - untuk pelajar, untuk budak sekolah.
"Sebab pasal PKP ini, walaupun kami banyak buat drama tapi orang kata dapat jugalah sumbang (menyumbang) untuk negara," kata penerbitnya Fazli Baharom.
Fazli juga berkata kontrak itu diperoleh mereka melalui tender terbuka pada Jun.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai