Skip to main
Logo Malaysiakini

Draf RUU Ombudsman telah dikemuka kepada AGC - Takiyuddin

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) komited untuk meneruskan penubuhan Ombudsman Malaysia bagi menggantikan Biro Pengaduan Awam (BPA), kata Menteri di Jabatan perdana Menteri, Takiyuddin Hassan.

Katanya, draf Rang Undang-Undang (RUU) Ombudsman telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tujuan semakan dan kelulusan sebelum dibentangkan di parlimen kelak.

"Ombudsman merupakan satu platform untuk orang awam menyalurkan aduan  terhadap sistem penyampaian perkhidmatan awam serta memastikan kerajaan berfungsi secara cekap dan berkesan ke arah demokrasi yang berakauntabiliti.

"Usaha kerajaan untuk menubuhkan Ombudsman bermula semenjak tahun 2018 di mana Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) pada 21 September 2018 telah bersetuju dengan penubuhan sistem Ombudsman Malaysia dalam perkhidmatan awam.

"Seterusnya pada 19 Oktober 2018, Jemaah Menteri telah bersetuju dengan keputusan JKKMAR tersebut dan pada 1 November 2019, kerajaan telah bersetuju dengan penetapan dasar penubuhan Ombudsman Malaysia.

"Kini, kerajaan komited ke arah memperkasakan Biro Pengaduan Awam (BPA) kepada Ombudsman Malaysia bagi pengurusan aduan awam," katanya.

Takiyuddin menjawab soalan Sivarasa Rasiah (PH- Sungai Buloh) yang meminta perdana menteri menyatakan sekiranya kerajaan bercadang menubuhkan institusi 'Ombudsman' yang bebas dan berwibawa.

Menurut Takiyuddin, Ombudsman diiktiraf di peringkat antarabangsa oleh kebanyakan negara demokrasi, selain sekitar 60 peratus daripada negara di dunia mempunyai institusi Ombudsman.

Takiyuddin berkata BPA juga telah meneliti model dan undang-undang Ombudsman di sembilan negara lain seperti United Kingdom, Sweden, Australia, New Zealand, Hong Kong, Filipina, Thailand, Gambia dan Namibia

Selain itu BPA juga telah meneliti undang-undang institusi agensi Kerajaan Malaysia seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Jabatan Audit Negara.

Pada Okt 2019, Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) Abu Kassim Mohamed dilapor berkata Ombudsman Malaysia dijangka beroperasi pada suku pertama 2020.

Abu Kassim, yang akan bersara wajib pada 5 Dis berkata kerajaan sedang memperbaiki sistem ombudsman berdasarkan badan serupa di negara lain.