Skip to main
Logo Malaysiakini

Peruntukan Belanjawan 2021 diagih ikut bilangan, kategori sekolah

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Peruntukan penyelenggaraan sekolah dalam Belanjawan 2021 akan diagih mengikut formula yang mengambil kira bilangan serta kategori sekolah sama ada sekolah kerajaan atau bantuan kerajaan, kata Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata formula itu bagi memastikan pengagihan dapat dibuat secara lebih menyeluruh dengan peruntukan sebanyak RM620 juta khusus untuk menyelenggara sekolah di bawah pengendalian Kementerian Pendidikan (KPM) di seluruh negara.

“Semasa sesi libat urus bersama Kementerian Kewangan, KPM telah memohon supaya diberi tanggungjawab untuk menentukan agihan peruntukan penyelenggaraan sekolah dan institusi pendidikan di bawah pengendalian KPM.

“Ini bagi memastikan pengagihan dapat dibuat secara lebih menyeluruh dengan mengambil kira bilangan dan jenis sekolah,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat hari ini

Beliau berkata sehingga kini, terdapat 10,223 sekolah di bawah pengendalian KPM yang terdiri daripada 8,293 sekolah kerajaan dan 1,930 sekolah bantuan kerajaan.

Jenis sekolah bagi kedua-dua kategori itu meliputi Sekolah Kebangsaan (SK); Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK); Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC); Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT); Sekolah Mubaligh; Sekolah Conforming (sekolah menengah jenis kebangsaan) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.

Sehubungan itu, Radzi berkata dalam menggunakan formula itu, siling peruntukan bagi jenis sekolah adalah RM477.48 juta bagi SK dan SMK berstatus sekolah kerajaan termasuk Sekolah Berasrama Penuh dan Kolej Vokasional manakala RM1.2 juta bagi SK dan SMK berstatus sekolah bantuan kerajaan.

“Sementara RM74.07 juta bagi SJKC kerajaan dan bantuan kerajaan; SJKT kerajaan dan bantuan kerajaan sebanyak RM29.98 juta; serta Sekolah Mubaligh kerajaan dan bantuan kerajaan sebanyak RM20.94 juta,” katanya.

“Selain itu, Sekolah Conforming kerajaan dan bantuan kerajaan akan menerima RM4.11 juta dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan sebanyak RM12.23 juta,” katanya.

Sementara itu, ketika menjawab celahan Teo Nie Ching (PH-Kulai) mengenai pembukaan semula tadika di Johor dan Melaka selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Radzi berkata perkara itu akan disemak.

“Tadika sepatutnya masih ditutup, itu saya kena semak balik maklumat yang diberikan oleh YB Kulai,” jelasnya ringkas.

- Bernama