Skip to main
Logo Malaysiakini

MP mahu Jeffrey dirujuk kepada jawatankuasa hak dan kebebasan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Susulan kehadiran Jeffrey Kitingan (Star-Keningau) di Dewan Rakyat yang mendapat kecaman daripada ahli parlimen pembangkang, Chan Foong Hin (DAP-Kota Kinabalu) meminta supaya dia dirujuk ke jawatankuasa hak dan kebebasan kerana mengingkari arahan Dewan untuk kuarantin selama 14 hari.

“Saya tak merujuk kepada sebarang kuarantin rule yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan. Tetapi apa yang penting, semua MP dari Sabah kita menerima surat bertarikh 9 Oktober yang minta kita semua MP dari Sabah kuarantin 14.

“Jadi kenapa Keningau boleh terkecualikan?,” soalnya di Dewan Rakyat hari ini.

Semalam, ahli parlimen pembangkang mempersoalkan bahawa Kitingan tiba di Kuala Lumpur 12 November, maka tempoh kuarantinnya hanya akan tamat pada 26 Nov ini.

Timbalan Speaker Rashid Hasnon kemudian berkata Chan perlu menyerahkan cadangan untuk merujuk perkara tersebut kepada jawatankausa hak dan kebebasan kepada Dewan supaya tindakan seterusnya dapat diputuskan.

“Kerana rumusannya ialah jika ada cadangan untuk dirujuk pada jawatankuasa hak kebebasan, maka perlu tulis kepada kami (Dewan) kerana kita mempunyai jawapan daripada KKM,” katanya.

Bagaimanapun, Chan berkata usul itu telah diserahkan secara bertulis semalam (24 Nov) kepada Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.

“Kota Kinabalu telah menulis dan dalam pertimbangan kami untuk merujuk apa yang diusulkan itu,” kata Rashid.

Semalam, Kitingan berkata keputusan dibuat oleh KKM yang telah menjalankan beberapa ujian calitan dan ujian darah sejak dia tiba di Kuala Lumpur pada 12 Nov lepas.

Dia juga menafikan dakwaan yang dirinya masih berada di Sabah pada 13 Nov dan tuduhan itu disifatkannya sebagai berniat jahat dan fitnah bertujuan merosakkan reputasi dan karakternya.