'Lebih baik perkasa kokurikulum di sekolah dari wujudkan semula PLKN'
Beberapa NGO belia berpendapat adalah lebih wajar sekiranya kerajaan memperbaiki sistem kokurikulum di sekolah berbanding mewujudkan kembali Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)
Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Ahmad Farhan Rosli berkata langkah itu juga dapat menjimatkan wang kerajaan.
“Ada langkah lain yang boleh dibuat untuk jimatkan dana kerajaan daripada wujudkan PLKN. Antara lain perkasa sistem kokurikulum di Universiti dan sekolah.
“Dalam kokurikulum, kita boleh wujudkan pelbagai lagi program bersifat patriotisme, kesukarelawan dan saya rasa langkah itu lebih baik daripad mewujudkan kembali PLKN,” katanya kepada Malaysiakini.
Semalam, Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan bercadang mewujudkan semula PLKN selepas mendapati program tersebut berjaya menyemai patriotisme di kalangan remaja yang menyertainya selepas tamat persekolahan.
Sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan (PH), kerajaan memansuhkan program PLKN dan Biro Tata Negara (BTN) bagi mengurangkan kos perbelanjaan negara.
Ahmad berkata, sekiranya kerajaan benar-benar ingin melaksanakan program PLKN, ia harus menepati objektif dan bukan sekadar membantu pengusaha kem menjana pendapatan.
“Kalau (kewujudan PLKN) hanya untuk bantu kem pengusaha PLKN, rasanya itu sudah bercanggah dengan motif utama.
“Kalau mahu dibantu kem pengusaha PLKN, saya cadangkan supaya mereka bekerjasama dengan kementerian pelancongan. Jangan jadikan PLKN satu tempat latihan pelajar, tetapi lebih kepada kem pelancongan,” jelasnya.
'Program sedia ada sudah memadai'
Senada dengan Ahmad, Presiden Belia Harmoni Malaysia Usaid Asmadi menjelaskan pelaksanaan program Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) dan Sukarelawan Siswa Siswi (Suksis) sudah memadai bagi memupuk semangat kenegaraan di kalangan belia.
Malah katanya, di sekolah juga terdapat subjek seperti pendidikan Sivik yang boleh diterapkan elemen patriotisme.
“Pandangan saya, optimumkan sahaja apa yang sedia ada.
“Cadangan (PLKN) ini lebih seperti habiskan duit rakyat pada perkara yang tidak utama. Lebih elok jika peruntukan itu digunakan untuk menampung kelompongan khususnya buat belia yang kehilangan kerja,” jelasnya.
Semalam, Anggota Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata kerajaan PH menghentikan program PLKN kerana kos yang melampau iaitu sekitar RM700 juta setahun.
"Kita berhentikan kerana kos melampau. RM700 juta setahun.
"Kontrak diagihkan ke kroni melalui direct nego (rundingan langsung)! Pimpinan Umno yang untung," katanya menerusi ciapan di Twitter.
Berlainan pula dengan Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia (MBM) Wan Mohd Husni Abdullah yang menyambut baik hasrat kerajaan itu.
Merujuk satu kajian berhubung keberkesanan program PLKN pada tahun 2016, Husni berkata 73 peratus pelatih program tersebut mempunyai perasaan cinta terhadap negara dan tanah air.
“Manakala 69 peratus pelatih menyatakan mereka mempunyai kesetiaan yang tinggi kepada negara.
“Angka-angka ini membuktikan PLKN berjaya menanam semangat patriotisme dalam diri belia selain berjaya mendisiplinkan diri dalam menjalani kehidupan,” jelasnya.
Namun Husni berharap, PLKN yang ingin diwujudkan kembali tidak berat sebelah dalam soal pemilihan peserta.
“Tidak kira belia itu dari golongan ternama, kerabat, selebriti atau ada 'cable kuat' sekali pun, mereka harus terima.
“PLKN harus bersifat adil pada semua. Tiada kem tertentu yang dikhaskan untuk golongan elit serta tiada penerapan unsur politik. Itu transformasi utama yang PLKN perlukan,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai