Skip to main
Logo Malaysiakini

Jenamakan Jasa tak mampu redakan kemarahan rakyat, kata Najib

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Bekas perdana menteri Najib Razak berpendapat langkah kerajaan untuk menjenamakan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) tidak mampu meredakan kemarahan rakyat.

“Saya tak yakin langkah untuk jenamakan semula nama Jasa kepada J-Kom mampu meredakan keadaan.

“Saya tengok ramai komen atau posting pro-PN (Perikatan Nasional) sekarang sedang dibalas dengan komen ‘Ha! Budak Jasa RM85 juta dah mula buat kerja’.

“Jika hanya dijenamakan semula, saya rasa komen balasan cuma bertukar menjadi ‘Ha! Budak J-Kom RM85 juta dah mula buat kerja’.

“Jadi, segala propaganda yang menyebelahi kerajaan PN akan menjadi kurang berkesan,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook hari ini.

Najib yang merupakan anggota parlimen Pekan juga berharap kerajaan sedar akan kewujudan risiko penubuhan unit J-Kom.

“Kerajaan perlu sedar wujudkan risiko (penubuhan J-Kom) ini,” jelasnya.

Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Saifuddin Abdullah berkata kerajaan bersetuju untuk menjenamakan semula Jasa kepada J-Kom.

Jelasnya, tujuan J-Kom adalah untuk mewujudkan komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat iaitu bagi menyampaikan maklumat kerajaan yang tepat, sahih dan bijaksana, selain mendengar suara dan maklum balas daripada rakyat.

Mengulas peruntukan RM85.5 juta untuk jabatan itu yang disifatkan terlalu tinggi, Saifuddin memberi bayangan peruntukan itu akan dikurangkan namun tidak menyatakan jumlahnya.

Katanya, pengurangan peruntukan itu boleh dibuat berikutan peruntukan J-Kom berdasarkan jumlah daerah dan bukannya peruntukan mengikut jumlah Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti sebelum ini.

Peruntukan untuk media kerajaan dikurangkan

Sementara itu, Anggota Parlimen Syed Ibrahim Syed Noh  berkata penjenamaan unit itu tidak menjawab isu sebenar yang berbangkit.

Syed Ibrahim turut mempersoalkan keperluan penubuhan unit itu sewaktu negara dalam krisis kesihatan dan potongan perbelanjaan terhadap beberapa agensi media kerajaan.

“Peruntukan untuk Bernama telah dikurangkan sebanyak RM12 juta, RTM dikurangkan hampir RM100 juta, Jabatan Penerangan telah dikurangkan sebanyak lebih RM10 juta dan Finas telah dikurangkan sebanyak RM3 juta.

“Mengapa peruntukan untuk agensi-agensi di bawah KKMM ini dikurangkan sedangkan Jasa atau J-Kom diperuntukkan lebih RM80 juta?

“Meskipun menteri menyebut bahawa peruntukan itu akan dikurangkan, namun bukankah itu menunjukkan agensi-agensi ini tidak ada keupayaan untuk melaksanakan objektif dan peranan mereka sehingga perlu diwujudkan JASA atau J-Kom?”soalnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Selain itu, Syed Ibrahim turut mempersoalkan ketelusan J-Kom berhubung isu lantikan dan penjawatan agensi itu.

“Sekiranya Belanjawan 2021 diluluskan dan J-Kom ini ditubuhkan, apa jaminan pihak KKMM bahawa agensi J-Kom ini tidak disalah guna sebagai agen propaganda kerajaan?

“Berkenaan isu perjawatan dan lantikan bagi agensi ini, apa jaminan pihak KKMM tidak akan ada campur tangan politik?” soalnya lagi.

Justeru itu, Syed Ibrahim menyeru KKKM menilai semula keperluan penubuhan J-Kom agar peruntukan dapat disalurkan kepada medium yang lebih memerlukan dan kritikal seperti infrastruktur internet luar bandar atau medium pendidikan di bawah KKMM.