Anwar bantah speaker tak benar tanya Zuraida kerana kekangan masa
Dewan Rakyat hari ini menyaksikan suasana tegang antara Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dan speaker, Azhar Azizan Harun.
Sejurus selepas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mengakhiri ucapan penggulungan Belanjawan 2021, Anwar bangun menyatakan bantahan.
Presiden PKR itu menyatakan rasa kesal apabila anggota parlimen tidak diberi peluang menyoal menteri berkenaan berhubung peruntukan RM8.6 juta untuk Penggerak Komuniti Tempatan (PEKT).
Azhar sebelum itu memberitahu Zuraida untuk menghabiskan ucapannya memandangkan waktu telah tamat dan mematikan mikrofon ketika ahli parlimen lain mahu bercakap.
"Saya tak setuju Yang di-Pertua ambil sikap terlalu keras menghalang ahli Yang berhormat membangkit isu-isu penting. Saya bantah.
"Yang di-Pertua terlalu keras sebab saya fikir isu yang dibangkit, biar bagi ruang kepada menteri jawab. Lima minit extra pun masalah?" soal Anwar.
Azhar berkata adalah hak prerogatif Zuraida untuk tidak membenarkan ahli parlimen lain mencelah dan memberi isyarat kepada menteri berikutnya meneruskan ucapan mereka.
Zuraida terangkan peruntukan RM8.6 juta
Semasa berucap, Zuraida menjelaskan bahawa PEKT tidak ada kaitan dengan NGO yang dikaitkan dengannya walaupun namanya hampir serupa.
"Penggerak Komuniti Tempatan, bukan Penggerak Komuniti Negara. Penggerak Komuniti Negara adalah NGO. Penggerak Komuniti Tempatan adalah lahir daripada Dasar Komuniti Negara. It is an extension of this program (Ini adalah lanjutan dari program berkenaan,” katanya.
NGO itu sebelum ini menafikan dakwaan bahawa ia menerima peruntukan RM8.6 juta yang diberikan kepada PEKT tahun depan.
Zuraida juga menjelaskan PEKT bertujuan memberdayakan komuniti B40 di kawasan bandar, terutama mereka yang tinggal rumah kos rendah.
Dia juga menegaskan pegawai PEKT dipilih berdasarkan kriteria ketat yang ditentukan oleh kementerian.
Semasa ucapannya, Zuraida mengabaikan pertanyaan dari Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) mengenai apakah PEKT membabitkan pelantikan politik.
Dia juga tidak membenarkan Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur) mengganggu ucapannya.
Zuraida sebelum ini berkata seramai 261 wakil PEKT telah dilantik untuk menjalankan inisiatif berkenaan kepada masyarakat setempat.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai