Skip to main
Logo Malaysiakini

Salah guna cap sempadan: 3 ejen pekerja asing ditahan SPRM

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Tiga ejen pekerja asing ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung pemalsuan cap keluar masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2.

Menurut sumber, ketiga-tiga ejen berusia lingkungan 30 hingga 66 tahun itu ditahan sekitar Kuala Lumpur petang semalam.

“Seorang daripada ejen terbabit merupakan peguam manakala dua yang lain menjalankan perniagaan berkaitan agensi pekerja asing.

“Setakat ini, seramai 59 orang ditahan sepanjang Op Selat dilancarkan. Ini termasuk 15 ejen pekerja asing, 34 pegawai imigresen dan 10 orang awam yang bertindak sebagai keldai akaun,” katanya.

Sumber SPRM berkata ketiga-tiga ejen terbabit dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini bagi permohonan tahanan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Pada Jumaat lepas, Bernama melaporkan SPRM menahan 50 individu dalam Op Selat di beberapa negeri berkaitan kes pemalsuan cap kemasukan bagi melintasi sempadan negara, membabitkan 28 pegawai imigresen, 17 ejen pekerja asing dan lima orang awam.

Operasi khas itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Imigresen hasil risikan serta pemantauan selama enam bulan di pintu masuk dan keluar negara khususnya di KLIA, KLIA2 dan Bangunan Sultan Ismail Johor Bahru.

- Bernama