Skip to main
Logo Malaysiakini

Insiden di sempadan: Polis buru suspek utama warga Malaysia

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Polis memburu suspek utama dan baki lapan suspek dalam insiden berbalas tembakan membabitkan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) semalam, yang dipercayai masih berada di sempadan negara.

Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata suspek utama merupakan warga tempatan berumur 50 tahun ke atas.

“Kami percaya masih terdapat lapan lagi suspek dari dua kumpulan penyeludup yang masih bebas berada di sekitar tempat kejadian.

“Hari ini kita berjaya menahan seorang suspek warga Thailand pada 9 pagi yang jatuh ke dalam gaung ketika insiden tembak-menembak,” katanya dalam sidang media hari ini.

Semalam, Bernama melaporkan dalam insiden kira-kira 2.30 pagi itu, anggota PGA mendiang Koperal Baharuddin Ramli, 54, terbunuh manakala rakannya Koperal Norihan a/l Tari, 39, cedera parah selepas berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup di lokasi kejadian iaitu kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 di Padang Besar, Perlis.

Surina berkata pihaknya akan menggunakan elemen sedia ada bagi memastikan semua suspek daripada dua kumpulan penyeludup yang terlibat dalam insiden itu segera diberkas.

Beliau berkata pihaknya juga sedang berusaha membawa masuk empat suspek yang ditangkap oleh polis Thailand ke Malaysia dan ia perlu mendapat kebenaran Ketua Polis Thailand.

“Perbincangan dengan polis Thailand telah dilakukan dan kesemua suspek akan dibawa masuk dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata polis mendapati senjata api yang digunakan suspek adalah jenis ‘shotgun’ berdasarkan peluru yang ditemui ketika bedah siasat ke atas mendiang Baharuddin.

Surina berkata Norihan akan dihantar ke Hospital Pulau Pinang hari ini bagi menjalani pembedahan mengeluarkan tiga butir peluru.

“Sebutir peluru berada berdekatan paru-paru dan dua lagi pada bahagian perut berhampiran tulang belakang,” katanya.

Surina berkata insiden itu, yang mengorbankan seorang anggota PGA, tidak mematahkan semangat Polis Diraja Malaysia sebaliknya memberi semangat kepada semua warga Sang Saka Biru untuk terus mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata insiden berbalas tembakan itu merupakan kali pertama berlaku di kawasan sempadan berkenaan.

Sebelum ini, hanya mendengar bunyi tembakan yang dihalakan ke arah pos kawalan Tembok Sempadan TS9 di Padang Besar, Perlis dari sebelah negara jiran itu.

Bunyi tembakan didengar pada 12 dan 15 Nov lepas.

- Bernama