Skip to main
Logo Malaysiakini

KKM harap ahli parlimen mengundi 'penuh bijaksana' esok

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Mengundi dengan penuh bijaksana - itu harapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjelang pengundian Belanjawan 2021 yang dijadual diadakan di parlimen esok.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata KKM yakin ahli-ahli parlimen terbabit sedar keadaan yang sedang dialami sekarang ini.

"Harapan KKM adalah agar ahli-ahli parlimen yang telah dipilih rakyat akan mengundi dengan baik dan penuh kebijaksanaan bagi kebaikan rakyat dan engara di kala negara mengalami Covid-19," katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini wabak berkenaan di Putrajaya hari ini.

Nasib Belanjawan 2021 akan ditentukan dalam pengundian di Dewan Rakyat - dijadualkan esok - dan bakal menentukan kelangsungan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.

Ketika kedudukan sokongan sesetengah ahli parlimen Umno masih samar, kegagalan kerajaan mendapatkan sokongan majoriti bagi meluluskan belanjawan berkenaan boleh membawa kepada beberapa senario, termasuk pengunduran Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Ketika Muhyiddin sebelum ini diketahui memiliki sokongan majoriti tipis, keadaan semasa menyaksikan ahli parlimen Pagoh itu hanya didukung 110 ahli parlimen berbanding 108 pembangkang.

Hal itu berlaku kerana beberapa faktor, termasuk kematian ahli parlimen Gerik, Hasbullah Osman, ahli parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin yang menjalani kuarantin dan ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang mengumumkan dia tidak akan mengundi.

Tengku Razaleigh juga mendesak agar undi tidak percaya terhadap Muhyiddin dibentangkan di parlimen.

Noor Hisham menambah dengan kefahaman ahli-ahli parlimen berkenaan kepada keadaan negara, dia yakin mereka akan mengundi dengan bijak.

"KKM yakin mereka faham dengan situasi semasa dan situasi kewangan negara dan kita harap ahli-ahli parlimen akan mengundi secara bijaksana," katanya.

Untuk rekod jika Belanjawan 2021 itu diluluskan, ia bukanlah penamat kepada cabaran yang perlu didepani PN.

Setelah ia diundi di peringkat dasar, belanjawan berkenaan sekali lagi akan diuji di peringkat perbahasan jawatankuasa.

[Baca berita penuh]