KPDNHEP Kelantan jamin keperluan asas cukup hadapi banjir
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri (KPDNHEP) Kelantan memberi jaminan bekalan barang kawalan dan keperluan asas di negeri itu mencukupi semasa menghadapi kemungkinan banjir.
Pengarahnya Adnan Abd Rahman berkata KPDNHEP Kelantan mengawal selia bekalan dan mengenal pasti dengan membuat persediaan sebelum, semasa dan tempoh pemulihan selepas fenomena bencana alam berkenaan.
"Objektif kami ialah memastikan bekalan barang kawalan dan keperluan asas mencukupi, mudah diperolehi dan dijual dengan harga yang ditetapkan oleh kerajaan serta berpatutan.
"Selain itu KPDNHEP Kelantan melalui tindakan penguat kuasa melantik point of interest yang terdiri daripada pemborong utama district dedicated-wholeseller dan district dedicated-retailer bagi peruncit terpilih di setiap daerah mengikut pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di kawasan berisiko terlibat.
"Pemborong dan peruncit barang kawalan serta barang keperluan asas yang dilantik ini merupakan pemegang mini stok hendaklah memastikan bekalan sentiasa mencukupi," katanya dalam kenyataan kepada media di Kota Bharu, hari ini.
Adnan berkata KPDNHEP Kelantan juga melaksanakan pelan kontijensi untuk mengawal selia bekalan semasa musim banjir iaitu melantik pemborong dan peruncit dengan kebenaran menambah had simpanan bekalan barang kawalan melebihi kuantiti had simpanan sedia ada yang dibenarkan dalam lesen asal barang kawalan berjadual.
KPDNHEP Kelantan juga tambahnya, mengadakan sesi libat urus dengan pengeluar, pemborong, pengimport, persatuan dan agensi kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri terlibat dalam menghadapi banjir di Kelantan.
"Dalam tempoh ini juga KPDNHEP Kelantan mengaktifkan bilik gerakan bermula jam 8 pagi hingga jam 10 malam bagi seluruh cawangan pentadbiran iaitu di cawangan Pasir Mas, Kuala Krai Tanah Merah dan Gua Musang untuk menerima sebarang aduan berkaitan.
Sama macam barang lain
"Kami juga sentiasa mempergiatkan pemeriksaan harian dan memantau kedudukan bekalan barang kawalan dan keperluan asas peringkat peruncit dan pemborong dari masa ke semasa," jelasnya.
Sementara itu dalam perkembangan lain Adnan berkata, susulan isu kenaikan harga bawang kecil merah import dari India, KPDNHEP Kelantan membuat pemeriksaan maklumat harga barangan dan pencatutan di peringkat rantaian pembekalan dan pengedaran bawang bermula 23 September 2020 sehingga semalam.
"Hasil pemeriksaan tersebut pasukan penguat kuasa KPDNHEP Kelantan mengeluarkan 12 notis bertulis di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 di peringkat pemborong manakala 11 Notis di peringkat peruncit di seluruh negeri.
"Kebanyakan pemborong utama bawang di Kelantan mendapatkan bekalan daripada pengimport di Selangor dan Pulau Pinang.
"Seperti pemakluman oleh peringkat tertinggi kementerian, isu kekurangan bawang yang di import dari India berpunca daripada banjir yang berlaku di negara itu serta larangan eksport bagi kemasukan ke pasaran Malaysia tidak dibenarkan oleh negara tersebut," katanya.
Tambahnya lagi, syarikat pengimport lain mula meningkatkan jumlah pengimportan bekalan bawang dari negara seperti Pakistan, China, Belanda dan Thailand.
"Harga bawang adalah sama seperti harga barangan lain yang bergantung kepada bekalan dan permintaan. Jika bekalan kurang dan permintaan tinggi, maka harga akan meningkat.
"Inilah yang juga sedang berlaku kepada bawang India dan sedikit sebanyak mempengaruhi keseluruhan bekalan bawang kecuali beberapa jenis bawang seperti bawang Holland.
"KPDNHEP Kelantan akan terus mengambil tindakan yang relevan bagi memastikan bekalan barangan kawalan dan keperluan asas sentiasa berada dalam pasaran serta mengawal mengikut harga yang berpatutan dalam pandemik dan bencana banjir ini.
"Pengguna tidak perlu resah dengan membuat pembelian secara banyak atau melebihi kerana bekalan barang kawalan dan keperluan asas sentiasa mencukupi," kata Adnan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai