Skip to main
Logo Malaysiakini

6 konstabel ditahan ketika sedang karaoke di Kota Bharu

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Enam anggota polis berpangkat konstabel yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, Kelantan ditahan ketika sedang berkaraoke di sebuah premis yang menjalankan aktiviti karaoke tanpa lesen di Bunut Payong, Kota Bharu, pada 20 Nov lalu.

Menurut sumber, mereka ditahan ketika satu serbuan itu dijalankan pada pukul 11.30 malam dan keenam-enam anggota merupakan pelanggan premis berkenaan.

Katanya, sewaktu serbuan dijalankan, dua anggota polis berada di ruang tamu premis itu manakala empat lagi sedang karaoke di dalam sebuah bilik.

"Empat orang yang ditahan merupakan anggota cawangan pengiring, seorang dari cawangan trafik dan seorang lagi cawangan pengangkutan IPD Kota Bharu.

"Hasil pemeriksaan dapati premis tersebut menjalankan aktiviti karaoke tanpa lesen. Peralatan yang digunakan untuk aktiviti itu juga dirampas," katanya kepada media di Kota Bharu, hari ini.

Katanya, seorang lelaki berusia 25 tahun dipercayai pemilik premis turut ditahan.

"Kegiatan pusat hiburan atau karaoke merupakan salah satu kesalahan di Kelantan kerana kerajaan negeri tidak membenarkan pembukaan pusat itu.

"Mereka sepatutnya memberi nasihat dan tidak terlibat dalam menghidupkan aktiviti karaoke di daerah Kota Bharu.

"Kes diklafikasikan dibawah Seksyen 6 (1) Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan DCP Shafien Mamat mengesahkan penahanan enam anggota polis yang mengunjungi pusat karaoke itu.

Katanya, siasatan kes turut akan dijalankan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Kelantan (JIPS).