Skip to main
Logo Malaysiakini

Rayuan Lokman Adam berhubung prosiding komital dijadual semula 14 Jan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Mahkamah Persekutuan telah menjadualkan semula pendengaran rayuan ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam, yang gagal mengenepikan kebenaran diperoleh bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas untuk memulakan prosiding komital terhadapnya, kepada 14 Jan tahun depan.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, ketika dihubungi, berkata pendengaran rayuan itu yang ditetapkan hari ini, telah ditangguhkan sehingga 14 Jan tahun depan.

Pada 13 Mei lepas, Lokman gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan bagi mengenepikan kebenaran yang diperoleh Thomas untuk memulakan prosiding komital terhadapnya kerana didakwa menakut-nakuti seorang saksi dalam kes 1Malaysia Development Berhad membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Yaacob Md Sam memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf apabila membenarkan permohonan Thomas bagi mendapatkan kebenaran untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Lokman.

Pada 14 Jan lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah, ketika menolak permohonan Lokman untuk mengenepikan kebenaran yang diperoleh Thomas, berkata mahkamah berpuas hati bahawa fakta dan ciri dalam dakwaan menghina terhadap defendan telah dibawa kepada perhatian beliau dengan sewajarnya.

Sequerah memberikan kebenaran kepada Thomas pada 22 Okt tahun lepas untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman atas tindakannya yang didakwa menghina mahkamah sebanyak dua kali pada 25 Sept tahun lepas.

Thomas, yang dilantik oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 4 Jun 2018 untuk tempoh dua penggal bagi menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali, meletak jawatan pada 29 Feb lepas.

Thomas memulakan prosiding komital terhadap Lokman dengan meminta perintah agar beliau dipenjara atau didenda atas tindakannya menghina mahkamah.

Menurut Thomas, pada 25 Sept tahun lepas, Lokman telah mengeluarkan kata-kata dalam satu temu bual video yang terjumlah kepada ugutan tersurat atau tersirat terhadap Amhari Efendi kerana memberi keterangan dalam perbicaraan Najib di Mahkamah Tinggi.

Thomas berkata pada hari sama, Lokman telah membuat laporan polis terhadap Amhari, yang merupakakn saksi kelapan pendakwaan, berhubung keterangan yang diberikannya pada perbicaraan bekas perdana menteri itu.

Thomas berkata objektif atau tujuan tindakan responden adalah untuk mengganggu dan menakut-nakuti Amhari, saksi dan mana-mana saksi berpotensi yang mungkin tampil memberikan keterangan terhadap Najib dalam perbicaraan kes 1MDB.

-Bernama