Skip to main
Logo Malaysiakini

KKM sedia serap lebih ramai petugas kontrak ke jawatan tetap

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PARLIMEN | Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedia menyerap kakitangan kontrak menjadi petugas tetap, tertakluk kepada kekosongan dan pengwujudan jawatan dari masa ke semasa.

Ketika menggariskan usaha bagi meningkatkan semangat petugas barisan hadapan menghadapi Covid-19, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata KKM turut memberikan keutamaan agar anak kelahiran Sabah dan Sarawak ditempatkan mengisi jawatan di negeri berkenaan, melainkan jumlah mereka mengatasi jumlah jawatan untuk diisi.

Terdahulu Dr Lee Boon Chye (PH-Gopeng) berkata meskipun petugas kesihatan berdepan cabaran menjalankan saringan Covid-19 di lapangan, tiada pengumuman dibuat dalam Belanjawan 2021 untuk memperbanyak jawatan buat mereka.

Timbalan Menteri kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali sebelum ini mendedahkan hanya 5,984 atau 56 peratus jawatan tetap diwujudkan setakat Sept daripada 10,675 jawatan baru yang diluluskan oleh Jabatan Perkidmatan Awam pada Dis lepas.

Portal kesihatan CodeBlue memetik Noor Azmi sebagai berkata jawatan yang diwujudkan itu terdiri daripada 997 pegawai kesihatan, 153 pegawai pergigian, 282 pegawai farmasi, 3,296 jururawat, 1,008 pembantu perubatan, dan 247 pembantu pembedahan pergigihan.

Adham berkata KKM sentiasa berusaha menambah jumlah pakar perubatan dalam pelbagai bidang kepakaran kritikal.

"KKM dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi menyediakan sekitar 1,200 slot pengajian bagi 23 bidang kepakaran untuk pegawai perubatan mengikuti program sarjana perubatan.

Tak sentuh isu KP KKM

"Selain itu, KKM juga menyediakan Program Pengajian Kepakaran Parallel Pathway yang meliputi 14 bidang kepakaran buat masa ini," katanya dalam ucapan penggulungan rang undang-undang perbekalan (belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Secara keseluruhan, katanya, sejumlah RM218 juta dibelanjakan antara 2017 dan 2020 bagi tujuan tajaan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP).

Lee - bekas timbalan menteri kesihatan bawah pentadbiran PH - bagaimanapun mempersoalkan sama ada kerajaan terbuka atau tidak untuk mengkaji semula syarat tajaan itu yang hanya boleh diberikan buat pegawai kesihatan dengan jawatan tetap.

Menurut Adham, dia bersetuju sekarang masa terbaik untuk membuat rancangan untuk petugas kontrak dan memikirkan jalan untuk memberikan mereka jawatan tetap.

Dr Lee Boon Chye

Pun begitu katanya ada prosedur yang perlu dilakukan dan dia berharap Lee dapat menyumbangkan sokongan dan cadagan.

Sebelum ini, Adham dilaporkan berkata sejumlah 1,355 graduan perubatan belum menerima penempatan, lapan bulan setelah Jabatan Kesihatan Awam memberikan kelulusan pada 7 Dis tahun lepas.

Dia turut dilaporkan berkata hanya 3.3 peratus atau 665 doktor daripada 19,909 pegawai perubatan kontrak yang ditawarkan jawatan tetap di sektor awam setakat 31 Julai tahun ini.

Kata Adham, seramai 32 ahli parlimen membangkitkan perkara berkaitan kementeriannya itu dalam perbahasan Belanjawan 2021.

Setiap menteri diberikan masa 20 minit untuk menggulung, tetapi beberapa ahli parlimen PH bangkit bagi meminta Timbalan Speaker Mohd Rashid Hasnon memberikan Adham masa tambahan, memandangkan Belanjawan 2021 pun diberikan jolokan sebagai Belanjawan Covid-19.

Rashid tidak membenarkan permintaan itu tetapi menjelaskan ucapan Adham pun sebenarnya sudah melebihi 20 minit yang diperuntukkan, bagi memberi maklum balas terhadap soalan tambahan yang dibangkitkan berdasarkan jawapannya.

Adham, bagaimanapun, tidak mengendahkan permintaan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang meminta penjelasannya tentang kenapa dia tidak menyentuh isu yang didakwa penghinaan terhadap Ketua Pengarah Kesihatan Dr Nor Hisham Abdullah oleh ahli parlimen Bintulu Tiong King Sing.