Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis: Tiada pekerja panjat pagar keluar dari PKPD Top Glove

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Polis menjelaskan tiada pekerja di asrama Top Glove Meru, Klang yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) memanjat pagar untuk keluar daripada kawasan itu.

Jurucakap Khas Ops Covid-19 Polis Selangor ACP Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata siasatan terhadap gambar tular di media sosial yang memaparkan pekerja lelaki memanjat pagar asrama berkenaan mendapati, perbuatan itu (memanjat pagar) berlaku pada hari pertama PKPD , semasa pekerja itu hendak masuk ke asrama mereka, dan bukannya untuk keluar dari kawasan itu.

Dia berkata insiden memanjat pagar itu berlaku pada hari pertama PKPD di asrama pekerja Top Glove 17 Nov lepas, semasa ujian saringan Covid-19 belum dilaksanakan.

“Mereka memanjat pagar sebagai jalan mudah untuk masuk semula ke asrama kerana ketika itu kawad duri sedang dipasang oleh anggota penguat kuasa yang bertugas,” katanya pada sidang media di Shah Alam hari ini.

Menurutnya beberapa pekerja lelaki yang kelihatan dalam gambar yang tular itu telah dikenal pasti, dan mereka sedang dikuarantin di asrama terbabit sehingga kini.

Justeru Muhammad Yazid Justeru berkata, dakwaan di media sosial yang mengatakan pekerja di asrama Top Glove lari daripada ujian saringan adalah tidak benar, malah tiada sebarang laporan mengenai isu seumpamanya diterima selepas gambar berkenaan tular sejak beberapa hari lepas.

Tambahnya, kawalan keselamatan di PKPD itu juga berjalan lancar dan pekerja di asrama terbabit memberi kerjasama ketika ujian saringan Covid-19 dilaksanakan.

Dia seterusnya memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat palsu yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

PKPD asrama pekerja Top Glove berkuat kuasa mulai 17 Nov hingga Isnin depan susulan peningkatan kes positif Covid-19 melibatkan Kluster Teratai.

-Bernama