Skip to main
Logo Malaysiakini

Kerajaan kaji kaedah kurangkan tol, kata menteri

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kerajaan bersama syarikat-syarikat konsesi lebuh raya sedang mengkaji berbagai inisiatif dan kaedah bagi mengurangkan kadar tol di lebuh raya di Malaysia.

Menteri Kerja Raya, Fadillah Yusof berkata kementerian itu juga membenarkan syarikat-syarikat konsesi lebuh raya mencadangkan kaedah penstrukturan semula kewangan syarikat bagi tujuan pengurangan kadar tol.

"Semua cadangan- cadangan berhubung perkara ini akan dibincangkan di antara Kementerian Kerja Raya, Kementerian Kewangan, Unit Kerjasama Awam & Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri dan agensi-agensi yang berkaitan bagi mencapai keputusan secara holistik," katanya.

"Memorandum Jemaah Menteri (MJM) Bersama Hala tuju Industri Lebuh raya Bertol di Malaysia di antara Kementerian Kerja Raya, Kementerian Kewangan dan Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri dijangka akan dibentangkan kepada jemaah menteri untuk pertimbangan dan kelulusan pada pertengahan November ini bagi tujuan ini," katanya.

Fadillah berkata demikian ketika menjawab soalan Gobind Singh Deo (PH- Puchong) yang meminta kementerian itu menyatakan apakah tindakan kerajaan untuk mengurangkan kadar tol di seluruh negara.

Awal minggu ini, timbalan Fadillah, Eddin Syazlee dilapor berkata kerajaan masih dalam perbincangan mengenai isu berkaitan pengambilalihan Lebuhraya PLUS.

Eddin berkata perkara itu perlu diteliti semula dengan mengambil kira syarat unjuran hasil keuntungan menerusi perjanjian itu di antara PLUS dan kerajaan.

Kerajaan sebelum ini berhasrat mengumpulkan kesemua 35 lebuh raya termasuk enam yang kini dalam proses pembinaan, untuk diletakkan di bawah satu badan amanah lebuh raya, sebagai usaha menurunkan kadar tol.

Syarat-syarat konsesi lebuh raya yang dipersetujui oleh kerajaan sebelum ini juga akan dikaji semula.