PGA tak gentar, terus gempur penyeludupan
Walaupun berdepan ancaman yang tidak mampu ‘dihidu’, warga Pasukan Gerakan Am (PGA) tidak sesekali gentar atau gerun, sebaliknya terus bersemangat untuk menggempur anasir penyeludupan di sempadan negara.
Pegawai Gerakan Batalion 3 PGA Inspektor Khor Kai Zhen berkata sebagai anggota keselamatan, mereka sememangnya akan terdedah dengan bahaya, namun bagi mengurangkan sebarang risiko pihaknya akan memastikan kesiapsiagaan mereka sentiasa pada tahap optimum.
“Seperti yang berlaku di sini semalam (kes tembakan anggota PGA) bila mereka (penyeludup) tengok kawalan anggota keselamatan kita ketat, mereka macam nak balas dendam, mereka lepaskan tembakan.
“Atau mereka nak alihkan perhatian kami, jadi mereka tembak…kejadian tembakan guna senapang angin ini sudah banyak kali berlaku cuma tidak ada sehingga mencederakan anggota,” katanya ketika ditemui semasa meninjau lokasi kejadian tembakan berhampiran pos kawalan di sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam, yang menyebabkan seorang anggota PGA Lans Koperal Muhammad Amirul Amir cedera ringan petang semalam.
Khor berkata walaupun menggunakan senapang angin, pelurunya boleh menembusi badan sehingga menyebabkan kecederaan parah dan lebih berbahaya jika jarak tembakan sangat hampir.
Sementara itu, Ketua Platun 5 PGA Inspektor Muhammad Adlizan Admancur menyifatkan empat kejadian tembakan dalam tempoh sebulan adalah jumlah kes yang agak tinggi dalam tempoh singkat, namun ia tidak akan sesekali menjejaskan emosinya dalam menjalankan tugas.
“Kami bertugas seperti biasa, apa yang berlaku tidak mematahkan semangat kami untuk sentiasa menjaga keamanan negara,” katanya.
Dalam kejadian 6.15 petang semalam, Muhammad Amirul, 26, melecet di bahagian perut selepas terkena tembakan senapang angin menggunakan peluru ‘ball bearing’ yang dilepaskan dari kawasan negara jiran, semasa sedang melakukan rondaan di sempadan Malaysia-Thailand berhampiran pos M16 di Bukit Kayu Hitam.
Sebelum ini Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata kejadian tembakan di pos sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis yang mengorbankan seorang anggota PGA iaitu mendiang Koperal Baharuddin Ramli, 54, Selasa lepas, adalah insiden kali ketiga bulan ini.
Kejadian pertama dilapor berlaku pada 12 Nov lepas dan kejadian kali kedua berlaku 15 Nov, manakala kes Muhammad Amirul merupakan kes keempat dalam bulan ini.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai