Anwar mungkin dipanggil saksi kes saman Yusoff terhadap Farhash
Anwar Ibrahim mungkin dipanggil mahkamah sebagai saksi dalam kes saman Muhammad Yusoff Rawther terhadap pembantu politik presiden PKR, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
Nama ahli parlimen Port Dickson itu ada di dalam senarai individu yang mungkin dipanggil sebagai saksi semasa pendengaran kes saman Yusoff di hadapan Mahkamah Sesyen Shah Alam yang bermula pada 30 Mac tahun depan.
Tindakan undang-undang itu disebabkan serangan fizikal yang didakwa berlaku terhadap Yusoff di pejabat Anwar di Bukit Gasing pada Mei tahun lalu.
Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Yusoff hari ini mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa Anwar adalah saksi yang berpotensi di dalam tuntutan mahkamah terhadap Farhash.
"Namanya (Anwar) ada di dalam daftar saksi, tetapi kami belum memutuskan untuk memanggilnya atau tidak (untuk memberi keterangan semasa perbicaraan).
"Sama ada Anwar akan memberikan keterangan, baik sebagai saksi untuk plaintif atau defendan, akan bergantung pada perkembangan kes itu, dan keputusan pihak-pihak masing-masing," kata Haniff.
Peguam itu berkata Mahkamah Sesyen Shah Alam menetapkan saman berkenaan untuk didengar di hadapan Hakim Fathiyah Idris pada 30 dan 31 Mac tahun depan.
Dilaporkan Yusoff menyaman Farhash dan setiausaha akhbar Anwar, Tunku Nashrul Tunku Abaidah, berkaitan dengan tuduhan serangan fizikal di pejabat Anwar di Bukit Gasing pada Mei tahun lalu.
Kedua-dua saman berasingan itu diajukan di Mahkamah Sesyen Shah Alam tahun lalu.
Yusoff menarik perhatian umum pada tahun lalu, melalui tuduhan dia diserang secara fizikal di pejabat Anwar dan melalui sidang media pada 3 Disember di mana dia mengaku telah diserang secara seksual oleh Anwar.
Pada 14 Januari tahun ini, Jabatan Peguam Negara mengumumkan tiada pendakwaan yang akan dikenakan terhadap Anwar kerana kekurangan keterangan.
Pada 24 Jan, Farhash memfailkan saman fitnah terhadap Yusoff berhubung sidang media pada 3 Disember. Tindakan undang-undang ini difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Pada 20 Februari, dilaporkan polis telah membuka kembali siasatan kes tuduhan serangan terhadap Yusoff.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai