Malaysia mulakan kajian klinikal vaksin Covid-19 bulan depan
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa Malaysia akan memulakan kajian klinikal fasa tiga vaksin Covid-19 bulan depan sebagai sebahagian daripada inisiatif Kerajaan-dengan-Kerajaan (G2G) bersama China.
Menurutnya, kajian itu akan diadakan ke atas vaksin yang dibangunkan oleh Institute of Medical Biology Chinese Academy of Medical Sciences (IMBCAMS).
"Kajian klinikal fasa tiga ini akan melibatkan sejumlah 3,000 peserta
dan akan menilai keselamatan serta keberkesanan vaksin Covid-19 yang dibangunkan itu.
"Kajian yang dijangka bermula pada bulan Disember 2020 akan
dikendalikan oleh Pertubuhan Kajian Klinikal (CRO) tempatan dan
telahpun didaftarkan di dalam Daftar Kajian Perubatan Nasional
(NMRR)," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Jelas Muhyiddin, kajian itu akan melibatkan lapan buah pusat
penyelidikan klinikal di bawah seliaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Bagaimanapun, tambahnya, profil keselamatan vaksin akan diteliti terlebih dahulu oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA)
untuk memperoleh Lesen Import Kajian Klinikal (CTIL).
Selain itu, katanya, protokol kajian akan dikaji oleh Jawatankuasa Etika dan Kajian Perubatan (MREC) bagi memastikan kajian yang akan dijalankan mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh KKM.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai