Skip to main
Logo Malaysiakini

PRK Gerik dan Bugaya: Terserah pada SPR lepas bincang dengan MKN, KKM

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kerajaan menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi tindakan seterusnya berhubung Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya dan PRK Parlimen Gerik yang dijadual 16 Jan depan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata ini termasuk penilaian risiko oleh KKM bagi mengetahui sama ada pilihan raya boleh dilaksanakan ketika kedua-dua kawasan berkenaan masih lagi dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Saya tidak tahulah sama ada perlu ada darurat atau tidak, itu kita serahkan pada perbincangan seterusnya dan kerajaan tidak campur tangan dalam perkara seperti ini,” katanya pada sidang media di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.

SPR hari ini menetapkan pengundian PRK bagi kedua-dua kerusi berkenaan dijalankan serentak pada 16 Jan depan manakala hari penamaan calon ditetapkan 4 Jan dan pengundian awal pada 12 Jan.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 18 Nov lalu mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Parlimen Batu Sapi, Sabah, sekali gus membatalkan PRK kerusi itu sebagai langkah proaktif untuk membendung pandemik Covid-19.

[Berita lanjut menyusul]

- Bernama