Skip to main
Logo Malaysiakini

Ujian saringan Covid-19 untuk warga asing fasa 1 mula 1 Dis

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Putrajaya hari ini memutuskan bahawa pelaksanaan ujian saringan Covid-19 kepada semua pekerja warga asing di negara bagi fasa pertama akan bermula pada Disember depan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata ujian itu akan dijalankan bermula di Selangor dan Negeri Sembilan seterusnya KL, Labuan, Pulau Pinang dan Sabah.

Jelas Ismail, pada peringkat permulaan, sebanyak 100,000 ujian saringan akan dilakukan ke atas pekerja warga asing justeru majikan perlu membuat janji temu bagi menggelakkan kesesakan.

"Sidang Khas hari ini telah mendengar pembentangan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) berkenaan jadual serta mekanisme pelaksanaan ujian ini.

"Pelaksanaan ujian ini akan dijalankan secara berperingkat dan bersasar mulai 1 Disember 2020 di negeri Selangor, Negeri Sembilan, WP Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sabah serta WP Labuan," katanya dalam sidang media di ibu pejabat Kementerian Pertahanan di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail berkata majikan perlu mengikut mekanisme pelaksanaan ujian saringan dengan membuat janji temu dengan fasiliti kesihatan swasta bagi ujian Covid-19 kaedah RTK-Antigen bagi mengelak terlalu lama tempoh menunggu.

Ismail berkata, kos kit ujian (RM60) akan ditanggung Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk ujian pertama kali sahaja dan selebihnya akan dibayar oleh majikan.

Putrajaya, sebelum ini mewajibkan semua pekerja asing di negara ini menjalani ujian saringan Covid-19.

Kata Ismail, pelaksanaan ujian saringan ke atas semua pekerja asing itu adalah berdasarkan penilaian di mana risiko jangkitan dalam kalangan mereka lebih tinggi berbanding pekerja tempatan.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Ismail Sabri juga berkata kawasan Tongkat Pecah, Batu Pahat, Johor kini berada dibawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) selama dua minggu, bermula 29 November ini.

Katanya, ini berlaku apabila 56 kes positif Covid-19 direkodkan selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan 672 ujian saringan di kawasan tersebut.

Pada masa yang sama, masih terdapat 02 sampel saringan yang masih lagi menunggu keputusan.

Menurut Ismail Sabri, PKPB Tongkat Pecah akan melibatkan 16,300 penduduk di kawasan-kawasan seperti Bandar Putera Indah, Lorong 7 hingga Lorong 10, Batu 7 dan Kampung Mohd Nor.

Kerajaan juga hari ini memaklumkan menamatkan tempoh PKPB di Daerah Kuching, Sarawak selepas KKM mengesahkan bahawa baki kes aktif Covid-19 di daerah itu menunjukkan tren penurunan dan terkawal.

Selain itu, Ismail juga berkata MKN telah membangkitkan isu kebenaran kepada sukan permotoran untuk kembali aktif.

Bagaimanapun, menurutnya berkata setakat ini kerajaan belum boleh membenarkan aktiviti sukan itu kembali beraksi.

"Ia telah dibangkitkan oleh ketua pengarah MKN tadi dan setelah kita berbincang dan mendapatkan pandangan daripada KKM, kita berpendapat dan KKM berpandangan bahawa Cup Prix itu satu perlumbaan secara dan dapat dielakkan tetapi apa yang membimbangkan adalah dari ssegi sebelum perlumbaan dan selepas perlumbaan.

"Kalau ramai peserta yang terlibat tentulah sebelum perlumbaan akan berlaku perkumpulan yang mungkin akan berlaku sentuhan dan selepas tamat pun, mungkin akan berlaku perhimpunan berkumpulan yang besar, yang mungkin boleh berlaku persentuhan.

"Jadi, setakat ini kita belum membenarkan lagi," katanya.

Bagaimanapun, Ismail berkata pihak-pihak yang terlibat dengan sukan permotoran itu boleh mengemukakan cadangan mereka berkaitan SOP sebelum, sewaktu, dan selepas sukan permotoran itu berlangsung kepada pihak kerajaan untuk diteliti.

"Kita minta supaya penganjur atau pun persatuan pelumba motorsikal ini membuatkan cadangan, kemukakan cadangan dari segi SOP sebelum, sewaktu dan selepas perlumbaan.

"Biar mereka buat permohonan secara rasmi, berserta cadangan SOP supaya perkara ini boleh dibincangkan oleh MKN dan KKM. Jadi, kita boleh lihat secara lebih teliti lagi," katanya.